Siaran Media Bakat Muda Sezaman 2016

KUALA LUMPUR– Balai Seni Negara (BSN) menganjurkan Majlis Penyampaian Anugerah Dan Pameran Bakat Muda Sezaman 2016 (BMS’16)  yang merupakan sebuah pertandingan yang bertujuan untuk melahirkan pelapis muda yang berpotensi dalam seni kontemporari di Malaysia di bawah usia 40 tahun. Pertandingan ini telah diperkenalkan sejak tahun 1974 dan merupakan antara pertandingan berprestij yang memberi penganugerahan kepada pelukis muda dalam membina karier sebagai pengkarya kontemporari. BMS dicetuskan oleh ahli-ahli Jawatankuasa Pameran dan Perolehan BSLN sekitar awal 70-an yang terdiri dari Johan Ariff, Farid Wardi, Redza Piyadasa, Mat Yasser Juli, Joseph Tan, Zuraina Majid, Ismail Zain dan TK Sabapathy. Diilhamkan dari pameran Bakat Muda Sezaman di London sekitar tahun 60-an, para pelopor ini percaya pada pelaburan masa depan dengan mencipta satu pelantar dan ruang untuk para karyawan muda menyerlahkan bakat mereka. Antara nama-nama besar dalam bidang seni yang lahir dari Bakat Muda Sezaman adalah Tan Cheng Kuan, Zulkiffli Yusoff, Ponirin Amin, Zakaria Awang, Fauzan Omar, Jailani Abu Hassan, Hasnol Jamal Saidon, Hanim Khairuddin, Bayu Uotomo Radjikin, Ahmad Shukri Mohamed, Eng Hwee Chu, Kow Leong Kiang, Azizan Rahman Paiman, Susyilawati Sulaiman, Sharmiza Abu Hassan, Bibi Chew, Roslisham Ismail a.k.a Ise, Yap Sau Bin, Abdul Muthalib Musa, Azliza Ayob, Fazil Idris, Fuad Ariff, Umi Baizurah Mahir, Chan Kok Hooi dan lain-lain.

Untuk BMS’16 Hadiah Insentif bagi Pemenang Utama pertandingan adalah berjumlah sebanyak RM 25,000.00 dan  bagi Anugerah Juri sebanyak RM 5,000.00 dan akan diberikan kepada 5 orang pemenang yang dipilih. Insentif ini merupakan sokongan kerajaan kepada pengkarya muda bagi mempertingkatkan hasil kerja. Malah ianya turut memberi peluang dalam melahirkan pengkarya muda yang berpotensi. Bakat Muda Sezaman telah menjadi pemangkin atau katalis dan medan persembahan untuk para pengkarya yang layak mendapat pendedahan dan sokongan dalam mencari pengiktirafan. Seramai 62 orang peserta yang menyertai pertandingan BMS’16 pada tahun ini. Seramai 33 orang darinya telah terpilih melepasi penghakiman untuk ke saringan tahap ke-2.Pemenang akan diumumkan dalam Majlis Anugerah yang akan dianjurkan pada 15 Mac 2017 jam 1.00 petang yang akan disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

Pameran BMS’16 telah dibuka dari 6 Februari 2017 sehingga 30 April 2017. Justeru itu,para pelawat boleh menghayati karya- karya yang dipertandingkan yang dibuka kepada orang ramai di Galeri 2A, 2B, 3A & 3B. Orang ramai dijemput hadir. Masuk adalah percuma.