Siaran Media Pameran Solo Marisa Ng

KUALA LUMPUR– Balai Seni Negara hari ini mengadakan Pameran Solo ke-3 Marisa Ridzuan Ng, Ong: It Came from a Place of Love di Creative Space@Lobi yang dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Omar Abd Hamid, President & CEO, DEMC Specialist Hospital pada 25hb April 2017 (Selasa) jam 3.00 petang di Creative Space @ Lobi di Bangunan Pentadbiran Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Balai Seni Negara.

 Pameran ini dianjurkan bersempena dengan Sambutan Hari Ibu pada bulan Mei dimana menurut pelukis, neneknya ibarat ibu kepadanya dimana merupakan orang yang menjaganya dari lahir sehingga dewasa. Pameran yang diilhamkan oleh hubungan yang mendalam diantara pelukis bersama neneknya yang membesarkannya, dihasilkan secara visual  dari perspektif beliau yang mengikut aliran abstrak ekspressionism.

Untuk makluman tuan/puan, pameran ini juga berharap dapat meningkatkan pemahaman khalayak tentang penyakit kanser kolon dan dementia dimana ahli keluarga atau penjaga pesakit harus menjadi seorang yang dapat menerima dan memberi sepenuh perhatian dan kasih sayang sepertimana yang ditunjukkan oleh pelukis. Menariknya pelukis menterjemahkan setiap memori itu didalam karyanya yang berwarna warni dan penuh ekspresi yang berjumlah 30 buah karya.

Penganjuran pameran ini di ruang Creative Space, turut memberi peluang kepada para kolektor seni untuk membeli dan menikmati keindahan karya-karya yang yang dipamerkan. Justeru itu, para pelawat boleh menghayati karya ini dengan lebih dekat yang dibuka kepada orang ramai dari 22 April 2017 sehingga 21 Mei 2017 di Creative Space@Lobi, Bangunan Pentadbiran LPSVN di Balai Seni Negara. Orang ramai dijemput hadir. Masuk adalah percuma.