Siaran Media Seni Negaraku

KUALA LUMPUR, 16 Jun 2017– Balai Seni Negara menganjurkan Seni Negaraku yang  merupakan sebuah program di bawah Inisiatif Negaraku yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri di Putrajaya yang bertunjangkan semangat cintakan Malaysia sempena Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-60 tahun.

Melalui Seni Negaraku ini terdapat dua buah pameran di Balai Seni Negara iaitu Pameran Seni Negaraku dan Reka Negaraku termasuk Pertandingan Seni Negaraku yang dimeterai melalui Memorandum persefahaman yang disaksikan oleh Perdana Menteri pada 19 April 2017. Pameran Seni Negaraku menghimpunkan sejumlah 88 karya dari 72 pelukis dari koleksi awam dan persendirian. Karya-karya ini mempunyai signifikan yang tersendiri kepada Negara sama ada dalam susurmasa sejarah sosial Negara mahupun titik-titik penting dalam pensejarahan seni lukis moden Malaysia dengan menggambarkan naratif, mengutarakan tentang makna dan gambaran visual melalui genre-genre romantik, idealism modenis dan isu-isu terkini seni kontemporari. Antara karya pelukis yang dipamerkan adalah seperti Abdul Latiff Mohidin, Syed Ahmad Jamal, Ibrahim Hussein, Joseph Tan, Fatimah Chik, Anthony Lau, Georgette Chen, Redza Piyadasa, Yeoh Jin Leng, Abdullah Ariff, Chuah Thean Teng, Yong Mun Seng, Dzulkifli Buyong, Ismail Zain, serta Mohd Hoessein Enas.

Manakala Pameran Reka Negaraku mempamerkan 36 artifak seni reka serta 53 cetakan mengenai barangan kegunaan harian seperti kotak mancis dan label ubat, memorabilia budaya popular seperti poster filem dan majalah, juga terbitan awam seperti poster propaganda dan pelancongan serta elemen-elemen penting dari zaman-zaman yang berlainan. Pameran ini juga mencerminkan bagaimana masyarakat Malaysia berubah mengikut peredaran masa serta kesan pengaruh yang membentuk identiti masyarakat.

Majlis perasmian Seni Negaraku disempurnakan oleh YAB Dato’Sri Mohd. Najib bin  Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia di Balai Seni Negara yang turut menyampaikan hadiah ‘Pertandingan Seni Negaraku’ kepada 9 orang pemenang utama yang melibatkan sebanyak 10,176 buah sekolah dan seramai 5 juta pelajar seluruh Negara, dimana karya nukilan oleh para pelajar yang terpilih akan dipamerkan di Balai Seni Negara.

Justeru itu,para pelawat boleh menghayati karya- karya yang dipamerkan yang dibuka kepada orang ramai dari Jun 2017 sehingga Oktober 2017 di Galeri 1A dan Galeri Reka. Orang ramai dijemput hadir. Masuk adalah percuma.

KLIK UNTUK SENARAI PEMENANG HADIAH UTAMA PERTANDINGAN MELUKIS SENI NEGARAKU 2017