Siaran Media Young Art Entrepreneurs (YAE!) di Balai Seni Negara

KUALA LUMPUR, 25 Julai 2017– Young Art Entrepreneurs (YAE!) merupakan sebuah program baru anjuran Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) yang diperkenalkan bagi menyediakan platform kepada pelukis muda untuk memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk menjadikan mereka usahawan seni yang berdaya saing di dalam industri seni kreatif Negara.

Antara objektif utama program YAE! adalah untuk melatih pelukis muda  dalam bidang seni dengan kemahiran keusahawanan, memberi pendedahan dan tunjuk ajar secara hands-on oleh Konsultan Keusahawanan, Pelukis Jemputan, dan Kurator Jemputan. Terdapat juga penglibatan dari Kolektor Seni dan Pemilik Galeri, yang akan memberi pendedahan kepada mereka mengenai industri seni bagi meningkatkan kreativiti peserta dalam menghasilkan karya yang menarik yang mampu memenuhi kehendak pasaran dan membina perniagaan seni secara tersusun.

Melalui program ini, seramai 7 orang pelukis muda telah dipilih iaitu Jessica Kuok Beng Lin, Foong Yeng Yeng, Abdul Mohsin Aminuddin, The Nadirah Hamdan, Ahmad Fikril Haniff Shahruddin dan Muhammad Farhan Shah Mohd Zaini, yang akan ditempatkan di Art Depot atau kontena yang berada di Balai Seni Negara sepanjang program ini berlangsung dengan menghasilkan karya catan, cetakan dan arca. Program keusahawanan ini mengguna pakai konsep art incubator dan mengambil peluang economy of scale melalui amalan perkongsian sumber seperti kemudahan, teknologi, peralatan, dan kejurulatihan.

Kemuncak kepada program ini adalah sebuah pameran seni yang akan diadakan pada bulan Januari 2018 di Creative Space di Balai Seni Negara. Justeru itu,para pelawat boleh berkunjung ke Art Depot Balai Seni Negara untuk melihat dengan lebih dekat lagi proses penghasilan karya oleh para pelukis muda ini melalui YAE! dari jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang. Orang ramai dijemput hadir. Masuk adalah percuma.