Siaran Media Pameran “Malaysian Caricaturist”

KUALA LUMPUR – Balai Seni Negara dengan sukacitanya menganjurkan Pameran Malaysian Caricaturist dari 9 September 2017 sehingga 15 Oktober 2017 bertempat di Creative Space 1 , Balai Seni Negara. Pameran ini memberikan gambaran yang menarik dalam menelusuri perkembangan perintis seni kartun atau karikatur tanah air dengan menonjolkan pelbagai gaya dan  elemen jenaka nukilan hasil tangan berbakat lapan  generasi kartunis. Pameran yang menggabungkan kartunis profesional negara seperti Imuda, Don, Aie, Katon Aqhari, Yaz Malee, Oly, Maro dan Oren. Melalui pameran ini, terdapat 100 buah karya kartun merangkumi pelbagai tema yang memberi penegasan kepada figura susuk tubuh individu-individu dan wajah-wajah berprofil tinggi di Malaysia antaranya pemimpin-pemimpin negara, seniman dan seniwati, selebriti komedi, pelukis-pelukis tersohor tempatan, atlet negara, artis antarabangsa, tokoh organisasi serta usahawan berjaya.

Dalam pameran karikatur ini, pengkarya mempamerkan karya-karya curahan rasa penghargaan dan kekaguman kepada tokoh-tokoh penting Negara dari pelbagai bidang namun terselit jua persembahan karikatur yang memberi respons kepada pelaku-pelaku isu-isu sensasi negara serta gambaran peristiwa adaptasi daripada realiti. Watak-watak karikatur  yang dapat dilihat dalam pameran ini antaranya ialah Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah II (Bapa Malaysia / Bapa Kemerdekaan Malaysia), Latiff Mohidin (pelukis tersohor negara), Zizan Razak (pelawak / pelakon), YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa (Ketua Pengarah Balai Seni Negara / pelukis), Jutawan kosmetik Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman (Dato’ Vida) dan banyak lagi.

Majlis perasmian pameran ini telah diadakan pada 12 September 2017 (Selasa) jam 11.00 pagi yang dirasmikan oleh YBhg. Prof.Dr.Muliyadi Mahamood, Ahli Lembaga Balai Seni Negara di Creative Space 1, Lobi Pentadbiran Balai Seni Negara. Pameran ini dibuka kepada orang ramai dari 9 September 2017 sehingga 15 Oktober 2017. Masuk adalah percuma.