Pameran Seni Negaraku

Pameran Seni NEGARAKU yang dipamerkan di Balai Seni Negara ini bertujuan menzahirkan rasa kesedaran terhadap kepentingan khazanah seni visual kepada negara. Pameran ini merupakan program di bawah “Inisiatif NEGARAKU” yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 18 Mac 2017 lalu di Putrajaya, bertunjangkan semangat cintakan Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-60 tahun.

Pameran Seni Negaraku yang dipamerkan di Balai Seni Negara ini menghimpunkan sejumlah 88 karya dari 72 pelukis dari koleksi awam dan persendirian. Karya-karya ini mempunyai siknifikan yang tersendiri kepada negara sama ada dalam susurmasa sejarah sosial negara mahupun titik-titik penting dalam pensejarahan seni lukis moden Malaysia.

Pameran ini memberi pendedahan kepada pengunjung untuk melihat hasil seni negara dengan lebih dekat dan sebagai satu pengkajian budaya yang dapat dibanggakan bersama di dalam sosiopolitik masyarakat Malaysia. Sejarah awal seni lukis digambarkan dengan naratif, mengutarakan tentang makna dan gambaran visual melalui genre-genre romantik, idealisme modenis dan isu-isu terkini seni kontemporari.

Antara karya pelukis yang dipamerkan seperti Abdul Lati  Mohidin, Syed Ahmad Jamal, Ibrahim Hussein, Joseph Tan, Fatimah Chik, Anthony Lau, Georgette Chen, Redza Piyadasa, Yeoh Jin Leng, Abdullah Ariff, Chuah Thean Teng, Yong Mun Seng, Dzulkifi Buyong, Ismail Zain, Mohd Hoessein Enas, Awang Damit Ahmad, Sulaiman Esa, Long Thien Shih, Jalaini Abu Hassan, Lee Kian Seng, Mad Anuar Ismail, Nik Zainal Abidin, Zulkifli Yusof, Ramlan Abdullah, Sharifah Fatimah Syed Zubir, Bayu Utomo Radjikin, Amron Omar, Noor Azizan Rahman Paiman, Anuar Rashid, Fauzin Mustafa, Yee I-Lann, Ahmad Shukri Mohamad dan beberapa karya pelukis dari kolektor persendirian.