SOALAN LAZIM

1. Apakah Biennale?

Dalam Bahasa Latin Biennial bermaksud sesuatu yang diadakan selang 2 tahun.

Sejarah Biennale bermula di Eropah pada tahun 1895 di Venice, Itali. Beberapa Biennale popular di rantau Asia adalah di Bangladesh, Republik Rakyat China (RRC), Republik Korea, Indonesia, India dan Singapura. Sejak 1990-an, jumlah biennial didapati menambah berkali ganda di seluruh dunia.

2. Apakah Kuala Lumpur Biennale (KLB)?

Kuala Lumpur Biennial 2017, adalah program seni kontemporari berskala mega dan bertaraf antarabangsa yang dikelolakan oleh Balai Seni Visual Negara. ( Rujuk soalan 7 dan 8)

3. Siapakah yang menganjurkan Kuala Lumpur Biennale?

Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara iaitu salah sebuah agensi dibawah Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan yang menganjurkannya.

4. Siapakah Kurator KLB 2017?

Kurator KLB 2017 adalah terdiri dari ahli Kuratorial Balai Seni Negara.

5. Bila dan di mana Kuala Lumpur Biennale akan diadakan ?

KLB 2017 akan  diadakan pada 1 November 2017 sehingga 31 Mac 2018 Di Balai Seni Negara dan di ruang sekitar Kuala Lumpur

6. Apakah Objektif penganjuran Kuala Lumpur Biennale ?

  • memperluaskan jaringan dan kerjasama Balai Seni Negara dan memastikan pembangunan industri seni kontemporari yang memartabatkan seni tempatan di persada dunia;
  • menerapkan identiti Malaysia dan profil negara khususnya Kuala Lumpur supaya tersemat pada peta seni global sebagai bandar dunia yang wajib dikunjungi;
  • menempatkan negara Malaysia dalam kalangan negara Asia yang gigih membangunkan sektor ekonomi kreatif yang berdaya saing dengan ekonomi kreatif global; dan
  • merangsang serta memupuk nilai-nilai murni budaya Malaysia dan menerap belas kasih serta meningkatkan nilai hidup berharmoni dan lestari.

7. Apakah tarikan Kuala Lumpur Biennale ?

Pameran juga akan disusuli dengan program-program utama seperti berikut:

  • Pameran Utama
    Pameran Utama ALAMI BELAS akan diadakan di semua Galeri di bangunan Galeri Balai Seni Negara
  • Pameran Satelit
    Pameran Satelit akan diadakan di beberapa buah galeri dan lokasi  di sekitar Kuala Lumpur
  • Simposium – Azam belas
    Seramai 300 peserta akan menyertai simposium ini terdiri daripada peserta dalam dan luar negara dengan tajuk “Azam Belas: Menjana Resolusi Generasi Ihsanat” yang diadakan selama 2 hari di Auditorium LPSVN. Simposium ini akan dihadiri oleh pelajar IPTA, IPTS, Sarjana, Penggiat Seni dan juga terbuka untuk orang awam.
  • Program Penghayatan Seni dan Anugerah
    Program yang akan diadakan adalah Bicara Seni, Bengkel Lestari Seni, Sembang Seni, Sesi Apresiasi Bersama Pelukis yang melibatkan 4,000 peserta dari pelbagai komuniti dan masyarakat awam termasuk sekolah rendah dan sekolah menengah di sekitar Kuala Lumpur. Rakan pintar LPSVN yakni Akademi Sains Malaysia (ASM) juga turut menganjurkan The ASM Art Science Prize ,suatu Anugerah Seni dan Sains ASM 2017/2018 sempena KLB 2017.

8. Apakah Tema Kuala Lumpur Biennale ?

Tema program KLB ialah Belas atau Be Loved.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2015) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ‘Belas’ bermaksud hati rasa belas. Belas juga bermaksud merahimi iaitu menaruh belas kasihan. Tema KLB didefinisikan kepada 5 Belas iaitu Belas Insan, Belas Alam, Belas Haiwan, Belas Warisan dan Belasungkawa.

  1. Belas Insan
    Belas terhadap insan memfokuskan kepada mangsa bencana, orang kelainan upaya, orang asal, orang miskin di bandar dan luar bandar, orang tua, anak yatim, anak gelandangan, ibu tunggal dan mangsa dera;
  2. Belas Alam
    Belas terhadap alam memfokus kepada alam semula jadi, habitat terancam, alam semesta, flora dan fauna bagi memastikan keseimbangan antara kesejahteraan hidup dengan pemuliharaan alam sekitar;
  3. Belas Haiwan
    Belas ini adalah khusus terhadap haiwan yang dianiaya dan mengalami kepupusan. Fokus adalah kepada spesis terancam yang terkesan dari sikap manusia sendiri;
  4. Belas Warisan
    Belas warisan terbahagi kepada 2 iaitu belas terhadap warisan Ketara seperti seni bina, alam semula jadi seperti flora dan fauna dan warisan tidak ketara iaitu seni persembahan, seni tampak, ritual kepercayaan serta muzik dan lagu bagi memberi nilai tambah kepada pengalaman unik pelancong; dan
  5. Belasungkawa / Kerohanian
    Belas terhadap tokoh yang telah meninggal dunia dinilai dari segi wasiat budaya dan seni. Aktiviti ini akan memfokuskan sumbangannya kepada pembangunan masyarakat, haiwan, warisan serta kesejahteraan alam. Tema kerohanian akan menampilkan karya-karya yang bersifat spritual

9. Berapa pelukis yang mengambil bahagian dalam penganjuran KLB ?

Program ini akan disertai oleh seramai 100 pelukis yang terdiri daripada pelukis, pengarca, karyawan, dan pakar-pakar dalam bidang seni visual dari negara Malaysia, ASEAN + 3 termasuk India. Negara-negara tersebut dipilih untuk terlibat dalam penganjuran Kuala Lumpur Biennale 2017 sempena ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke 60 serta Ulang tahun Negara-negara ASEAN yang ke 50.

10. Apakah sasaran pengunjung untuk penganjuran Kuala Lumpur Biennale 2017 ?

KLB 2017 bakal  dikunjungi oleh 250 000 orang yang terdiri daripada pengunjung luar dan tempatan dan khususnya peminat seni tanah air dari setiap pelusuk dunia. Penganjuran KLB 2017 adalah selaras dengan strategi 9 inisiatif 7, Pelan Strategik Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan 2016 – 2020 yang meletakkan KL Biennale sebagai acara utama dengan sasaran khalayak seramai 250,000 orang yang menyumbang kepada pencapaian sasaran 36 juta kehadiran pelancong bagi tahun 2020.

11. Siapakah rakan pintar KLB 2017? Bagaimana seseorang boleh menyertai KLB 2017 ?

Rakan Kerjasama dan rakan pintar KLB terdiri dari organisasi Kerajaan dan bukan Kerajaan seperti Akademi Sains Malaysia, ASTRO,Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Istana Budaya,Badan Warisan Malaysia,Pusat Darah Negara,Planetarium Negara, Perpustakaan Negara , Petronas Galeri, Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Tropical Rainforest Conservation and Research Centre, dan Telekom Malaysia. Rakan Penaja KLB 2017 adalah  International Art Services dan MyCreative.

Orang ramai dijemput sebagai pengunjung dan peserta aktiviti . Pelukis terpilih dijemput berpameran .

LPSVN  menjemput individu yang ingin berkhidmat sebagai sukarelawan KLB 2017 menghubungi kami dan bersama berkhidmat untuk memberi belas kepada komuniti sepanjang KLB 2017 diadakan.