|
|
MOSAICS OF MALAYSIA12 Jun – 31 Ogos 2009 Pameran ini merupakan kesinambungan daripada pameran Koleksi Saya yang telah diadakan sekitar tahun 1970an yang dimulai dengan sepuluh orang kolektor seni tampak dan yang paling terkini dipamerkan ialah pameran Koleksi Saya: Rahime Harun yang memaparkan karya-karya terbaik dari koleksi beliau yang telah diadakan pada bulan November 2008 di Balai Seni Lukis Negara.
“Mosaics of Malaysia” menampilkan himpunan karya-karya oleh pelukis Zhang Zhou membesar di Wilayah Liaoning di Timur Laut China. Karya-karya ini merupakan himpunan dari koleksi Encik Tai Keik Hock seorang pemilik Galeri Seni Lukis Moden Dai Ichi di Sungai Petani, Kedah. Zhang Zhou merupakan pelukis yang dikenali dinegaranya dan melalui pameran ini beliau telah menterjemahkan tentang keindahan dan kekayaan budaya Malaysia yang pastinya berbeza dari budayanya di negara asal. Kepakaran dan kemahiran beliau dalam mengungkapkan keindahan sesebuah tempat atau merakam sesuatu peristiwa amat mengkagumkan dan ini dapat disaksikan melalui pameran ini.
Balai Seni Lukis Negara merasa bangga dapat mengadakan pameran “Mosaics of Malaysia” bertepatan pada masa negara ini menyambut 35 tahun hubungan Malaysia-China yang menampilkan karya-karya berunsur budaya dan warna-warna Malaysia oleh pelukis berbakat seperti Zhang Zhou. Keunikan karya-karya beliau begitu memukau penglihatan mata dengan sulaman dan jalinan warna-warna yang meninggalkan kesan yang menyegarkan serta mendamaikan.
Pameran ini membuka tirai kepada kepelbagaian wadah seni yang mungkin dilihatkan demi memupuk kecintaan dan penghayatan misi Seni & Pelancongan (Art & Tourism) di negara ini. Semoga keindahan warna melalui karya oleh Zhang Zhou ini dapat membawa inspirasi kepada para pelawat dalam dan luar negara agar meminati budaya dan landskap Malaysia.
|