| / | Hubungi Kami | Soalan Lazim | Pautan | Bantuan | Peta Laman |
|
|
|
|
||||||||||||||||||||||
|
|
Majlis Pelancaran Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2011 (Akta 724)
KUALA LUMPUR, 26 September 2011 – Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Dato’ Sri Utama Dr. Rais Yatim hari ini telah merasmikan Majlis Pelancaran Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2011 (Akta 724) yang membawa kepada penukaran nama dari Balai Seni Lukis Negara (BSLN) kepada Balai Seni Visual Negara (BSVN). Majlis tersebut juga dihadiri oleh Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha dan Timbalan Ketua Setiausaha serta wakil-wakil agensi KPKK selain rakan-rakan korporat dan media yang turut sama menyaksikan pelancaran yang bersejarah bagi Balai Seni Visual Negara. Dengan pewartaan Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2011 (Akta 724), Akta ini membolehkan BSVN beroperasi bukan sahaja sebagai sebuah galeri tetapi juga sebagai pemangkin kepada pembangunan industri seni visual tanahair melalui program-program pembangunan dan bantuan-bantuan lain yang perlu. (Rujukan : Seksyen 4 (f) dan (i)). Akta ini juga mentarifkan, apa-apa bentuk seni yang dihasilkan menarik kepada deria visual dan wujud dalam bentuk kekal seperti fotografi, multimedia dan apa-apa bentuk teknologi yang menarik, berbanding akta lama yang lebih menjurus kepada seni lukis sahaja. Kerajaan merasakan Akta Balai Seni Lukis Negara 1959 yang telah sekian lama digunapakai perlu di tambahbaik bagi memberi fokus yang lebih luas selaras dengan tuntutan dan perkembangan seni visual di peringkat antarabangsa. Akta Balai Seni Lukis Negara 1959 (Akta 512) bermula bila mana idea penubuhannya mula dikemukakan sejak tahun 1954 hingga 1956 oleh Majlis Kesenian Persekutuan (Malaya Arts Council) yang ditunjangi oleh Mubin Sheppard (kini Tan Sri) dan Frank Sullivan. Akta Balai Seni Lukis Negara1959 dengan ini digantikan dengan Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2011 (Akta 724) berkuatkuasa mulai 27 Ogos 2011 yang lalu. Tarikh ini diambil bersempena dengan ulang tahun penubuhan Balai Seni Lukis Negara yang ke 53. Selain itu, akta ini juga membolehkan Balai Seni Visual Negara mengembangkan operasinya ke negeri-negeri berbanding akta lama hanya membenarkan galeri beroperasi di Kuala Lumpur sahaja (Rujukan : Seksyen 30 (2)). Dengan termaktubnya Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2011 (Akta 724), diharap misi BSVN untuk mengumpul, memulihara, memelihara, mempamer, mempromosi, memupuk kesedaran, kefahaman dan penghayatan terhadap seni kepada semua lapisan masyarakat akan lebih terlaksana selain membolehkan BSVN menetapkan standard dan mutu seni visual supaya koleksi-koleksi seni visual Negara mendapat pengiktirafan yang lebih tinggi melalui pewartaan akta tersebut. Pada majlis pelancaran akta tersebut, BSVN dengan kerjasama Pos Malaysia turut melancarkan setem Khazanah Seni Visual Negara - Siri II, di mana Pos Malaysia telah mengeluarkan 3 jenis setem yang bertemakan perjuangan kemerdekaan sempena sambutan kemerdekaan Malaysia ke 54 pada tahun ini. Setem-setem tersebut mempamerkan karya tiga orang pelukis pelopor negara iaitu Datuk Mohd Hoessein Enas, Encik Nik Zainal Abidin Nik Salleh, dan Encik Anthony Lau. Pelukis-pelukis ini terkenal dengan kajian bahan dan olahan rekabentuk yang penuh estetika. Kaitan karya ini dengan tema perjuangan adalah berdasarkan idealisme pelukis terhadap budaya, persekitaran dan kelestarian kehidupan. Berikut adalah ringkasan kronologi Balai Seni Visual Negara sejak ia ditubuhkan : • 27 Ogos 1958 Balai Seni Lukis Negara ditubuh dengan rasminya melalui Akta Balai Seni Lukis Negara. Pengarah Balai Seni Lukis Negara yang pertama ketika itu ialah Encik Frank Sullivan. • 3 Oktober 2007 – Rang Undang-undang Lembaga Pembangunan Seni Tampak Negara telah diluluskan oleh Jemaah Menteri bagi memansuhkan Akta Balai Seni Lukis Negara 1959. • 26 November 2007 – Bacaan kali pertama Rang Undang-undang Lembaga Pembangunan Seni Tampak Negara di Parlimen. • Tahun 2008 – RUU Lembaga Pembangunan Seni Tampak Negara ditarik balik kerana perkataan Tampak memberi maksud yang berbeza bagi sesetengah kaum di Sabah. • RUU Lembaga Pembangunan Seni Tampak Negara dipinda kepada RUU Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara kerana ia memberi gambaran yang lebih jelas dan merangkumi semua bidang Seni Visual. • 16 Julai 2010 –RUU Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara dibentangkan dan dipersetujui oleh Jemaah Menteri • 11 Oktober 2010 – Bacaan kali pertama RUU Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara di Dewan Rakyat • 15 Disember 2010 – Bacaan kali kedua dan ketiga di Dewan Rakyat • 22 Disember 2010 – Pembentangan di Dewan Negara • 24 Januari 2011 – Diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong. • 27 Januari 2011 – Disiarkan dalam warta. • 27 Ogos 2011 – Penguatkuasaan Akta • 26 September 2011 – Majlis Pelancaran Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara oleh YB Menteri KPKK
Tarikh Akhir Dikemaskini : 02 Disember 2011 |
|||||||||||||||||||||
|
||||||||||||||||||||||