menu
|
Cheng Haw Chien
‘Back then, These days’ (BTTD) merupakan sebuah pameran yang memperlihatkan karya Seni Cetak Himpunan Tetap Balai Seni Visual Negara (BSVN) yang menyentuh akan penggunaan medium terhadap pragmatik kreasi karya cetakan pelukis Malaysia. Selain daripada bertujuan memeriahkan Penang International Prints Exhibition (PIPE), pameran BTTD ini juga merupakan respon terhadap persepsi mono manusia seni rupa mengenai Balai Seni V Negara (BSVN) didalam teks (printed text) promosi ‘Malaysia’s Contemporary Art Scene’ (MCAT) yang cuba diterapkan (imprinted) ke dalam minda pembaca menerusi penulisan teks tersebut.1 Bertolak dari situlah makanya BSVN menemui konsep pameran BTTD ini yang mana terdapat dua cara pendekatan pameran atas cubaan menerapkan (imprinted) semula minda pembaca dan khalayak seni rupa di Malaysia mahupun Antarabangsa mengenai koleksi karya seni cetak BSVN. Back then Sifat kreatif itu muncul dalam kehidupan manusia apabila mula terdesak dalam memenuhi tuntutan keperluan, dari situ manusia mula menajamkan batu untuk memotong, menyulam benang untuk baju, menebang pokok untuk rumah, mengenal tumbuh-tumbuhan untuk makanan dan sebagainya. Sehinggalah keperluan itu menjadi lebih kompleks, manusia mula belajar untuk menjadi lebih moden agar tidak ketinggalan yang akhirnya menjadi sebahagian daripada kebudayaan mereka sendiri. ‘Back then’ dilihat dalam hal kesenirupaan, pelukis mula melakar dengan menggunakan sumber alam seperti arang, batu dan sebagainya untuk menghasilkan karya dengan cara imitasi, imaginasi, ekspresi dan pendekatan lainnya. Berlanjutan dari itu, pelukis mula mengenal, mempelajari dan mengeksplorasi bahan untuk memahami permukaan, kesan, dan sebagainya demi mencari keistimewaan bahan dalam karya seni (lukisan, catan, arca dan cetakan) mereka sebagai sebuah pragmatik kreasi sehingga ianya dianggap sebagai sebuah karya estetik bagi golongan penilai. Di Malaysia, setiap hasil karya seni rupa (bicara mengenai seni cetak) yang berpotensi telah dipertanggungjawabkan kepada BSVN untuk dijadikan Himpunan Tetap BSVN (Koleksi) yang berguna sebagai warisan, dokumentasi, pengkajian dan sebagainya. Antara karya cetakan terawal yang telah menjadi himpunan tetap BSVN pada tahun 1959 adalah karya Lee Joo For yang bertajuk ‘Burung Dan Ikan’, menggunakan teknik potongan kayu berwarna. karya-karya cetakan awalan pelukis tempatan telah menjadi koleksi BSVN secara aktif sekitar tahun 70an, 80an dan 90an. Gurisan, potongan kayu, suterasaring, monoprint, potongan lino dan litograf dilihat merupakan teknik dan medium popular yang sering digunakan dalam menghasilkan karya cetakan. Perbincangan bersama kuratorial BSVN telahpun memilih beberapa buah karya koleksi seni cetak BSVN yang terkandung dalam ‘Back then’, antaranya adalah ‘Imago Senja’ Abdul Latiff Mohidin menggunakan potongan kayu, ‘Alif Ba Ta’ Ahmad Kahlid Yusuf, ‘Of Fashion of Series After Hiroshige’ Lee Kian Seng, ‘Departure at Dawn’ Loo Foh Sang dan ‘Rupa Barat Di Awan dan Ombak Timur’ Long Thien Shih menggunakan suterasaring, ‘Rumah Khoo Kongsi Pulau Pinang’ Ilse Noor yang masih kekal sehingga kini menggunakan teknik gurisan, begitu juga ‘Menanti Godot 1’ Sulaiman Esa dan ‘Di Pentas Mu Yang Sepi’ Ponirin Amin, sementara ‘Kalimanjaro In Nagasaki’ Juhari Said menggunakan potongan kayu. Karya-karya ini dipamerkan dalam sebuah bentuk risalah bagi memperlihatkan kepada khalayak akan koleksi-koleksi karya cetakan BSVN terdahulu yang kini berkepentingan menjadi aset utama terhadap negara selain daripada menjadi sumber rujukan kepada peminat seni rupa di Malaysia dan Antarabangsa. These days ‘These days’, apabila bahan dan alatan mula diciptakan mengikut peredaran zaman, pelukis mula mempelajari dan mencuba sesuatu yang baru yang mana keinginan ini sentiasa wujud dalam diri pelukis demi mencari kelainan terhadap karya mereka sebagai sebuah identiti yang tersendiri. Seni Cetak merupakan salah satu bidang dalam seni rupa yang juga terkesan dengan perkembangan teknologi. Bicara mengenai teknik dan bahan dalam seni cetak secara konvesionalnya sudahpun kita ketahui, ‘These days’ karya cetakan digital, telah mula duduk di dalam wilayah seni rupa kontemporari sebagai pragmatik kreasi pelukis sezaman. ‘These days’ BSVN yang sentiasa mengikuti perkembangan pelukisnya telah menjadikan karya-karya seni cetak kontemporari sebagai sebahagian koleksi BSVN yang terpenting. Senario seni cetak mula dilihat melalui proses evolusi apabila Ismail Zain mula menghasilkan karya cetakan dengan menggunakan teknik dari komputer diantaranyanya karya ‘Al-Rumi’. Berlanjutan dari itu juga dinamika medium Seni Cetak di Malaysia mula dilihat duduk didalam wilayah seni kontemporari apabila konsep multitasking mula hadir dan wujud dalam diri individu setiap pelukis didalam penghasilan sesebuah karya seni rupa seperti Zulkifli Yusoff, Ponirin Amin, Wong Hoy Cheong, Redza Piyardasa, Ahmad Shukri Mohamed dan ramai lagi. Bagi memperlihatkan konsep ‘These Days’ ini pula, kerja kuratorial telah membuat pemilihan karya-karya yang akan dipamerkan di ruang pameran untuk tatapan khalayak dan pambaca seni rupa kontemporari. Medium cetakan digital yang menjadi semakin popular hasil daripada karya-karya Simryn Gill sedikit sebanyak telah memberi kesan kepada pelukis seperti Roslisham Ismail atau telah dikenali sebagai Ise dengan karyanya‘ Fed Up! But I Know I’m Not Alone’ , Yee I-Lan , ‘Sulu Stories: Sarung’ dan Noor Azizan Rahman Paiman, ‘Sky Kingdom’ sebagai medium dalam hasil karya mereka. Pelukis senior, Long Thien Shih yang tidak kalah saing dengan pelukis muda cuba meletakkan dirinya dalam teknologi sezaman dengan menghasilkan karya ‘ Bar Coded Man’ menggunakan ‘Inkjet Print’ . Dalam ruang pameran ini juga kita dapat lihat bagaimana pelukis muda seperti Hazrul Mazra Rusli dengan karyanya ‘Maksud Dan Pembayang’, telah meninggalkan kesan cetakan dalam bentuk 3 dimensi di atas permukaan kesat yang menggunakan simen sebagai mediumnya, berbanding Shahrul Jamili dengan pendekatan konsepsualnya yang masih mengimplimentasikan teknik cetakan dengan kepelbagaian bahan di atas karyanya ‘Pair of Opposites’. Untuk yang terakhir karya Phuan Thai Meng, ‘The Gleaner 2006’ pula menggunakan cetakan duratrans dan kotak lampu yang kini dilihat antara bentuk karya yang gemar dihasilkan oleh pelukis muda lainnya. Back then, These days Dunia seni rupa yang juga menjadi sebahagian daripada sistem kapitalis kurang lebih telah mewajibkan karya seni rupa mengikut peredaran sezaman. Memang benar seni rupa kontemporari sangat terkait dengan ekonomi dan tidak mampu dielak oleh mana-mana pelukis sekalipun, namun begitu, BSVN sebagai institusi seni negara Malaysia yang terunggul sering kali mengambil kira perihal kontemporari itu bukan sekadar atas keperluan penjualan karya seni rupa semata-mata tetapi karya seni rupa itu yang lebih diutamakan. Sesungguhnya BSVN bukan sekadar memiliki karya himpunan tetap berbentuk konvesional sahaja tetapi juga sering menyelidik, mempelajari dan mengenal karya-karya terkini pelukis malaysia dan menjadikan karya seni kontemporari itu juga sebagai karya himpunan tetapnya yang mana ia tidak mungkin dilihat pada himpunan koleksi individu mahupun institusi lain. Keunikkan inilah membuat BSVN sentiasa menjadi pemegang dan perujuk utama terhadap seni rupa di Malaysia. Semoga pameran BTTD ini mampu memberi manfaat dan menerapkan (imprinted) semula pandangan yang murni peminat seni rupa terhadap BSVN dan seni rupa Malaysia. Ini lah kontemporari! BSVN sentiasa terus maju! Arham Azmi Kurator Balai Seni Visual Negara September 2010 1 Pembacaan ini boleh dirujuk dalam teks bermula ‘Back then, the National Art Gallery in Kuala Lumpur was the country’s premier art institution. These days, you can find private art galleries mushrooming all over the country, providing an alternative platform for established and up-and-coming names in the contemporary art scene’
Tarikh Akhir Dikemaskini : 19 September 2011
|