Balai Seni Lukis Negara mempersembahkan Kata Luhur-sempena menyambut hari lahir yang ke 75 untuk YBhg Datuk A.Samad Said. Mempamerkan hasil karya beliau dalam bentuk lukisan & lakaran berjumlah hampir 100 buah.
Y.Bhg Datuk Syed Ahmad Jamal akan merasmikan pameran ini pada hari jumaat, 09hb April 2010 jam 8.00 malam di Galeri 2B, Balai Seni Lukis Negara.
KATA LUHUR merupakan pameran solo kedua A.Samad Said yang memaparkan kira-kira 100 buah lukisan daripada 11 siri karya terbaru beliau. Himpunan lukisan ini adalah cerminan pengalaman A.Samad Said yang sering bergelut dengan jerih getir memperjuangkan dunia kesusteraan yang sudah begitu sebati dengan dirinya.
Berbanding dengan siri lakaran di dalam pameran solo pertama (Daerah Samad, 2007) yang kelihatan lebih halus, gestural dan meditative, karya-karya terbaru ini menonjolkan sapuan yang lebih perkasa, ganas dan penuh yakin seiring dengan nuansa yang menyelubungi detik-detik pengkaryaan lukisan-lukisan tersebut.
KATA LUHUR adalah rakaman visual serta catatan batin bangsa sebuah era yang sarat dengan kisah resah gelisah serta gelora seorang sasterawan dalam menongkah sebuah kehidupan, berbaur dengan pelbagai episode yang mengintari daerah bahasa dan bangsanya.
Nur Hanim Khairuddin sebagai Kurator Jemputan
Nota: Sempena hari lahir ke 75 Pak Samad, majlis akan turut diserikan dengan persembahan lagu, video seni bacaan puisi oleh: Rahmat Haron, Meor Yusuf Aziddin, Rahimidin Zahari, Siti Zainon Ismail, Space Gambus Experiment, Dewangga Sakti & Taheera Rosheena.
Lawatan ke Galeri
Buka : Setiap hari (Isnin – Ahad), mulai jam 10 pagi hingga jam 6 petang