KEMBARA DI SARANG SENI membawa maksud yang begitu bermakna bagi Ali Rahamad, seorang pelukis mapan yang turut dikenali dengan gelaran Ali Mabuha. ‘Kembara’ dan ‘seni’ merupakan dua kalimat yang amat sinonim dengan beliau kerana kedua-dua aspek ini menjadi latar utama kepada perjalanan kehidupan beliau. Selama kurang lebih empat dekad, Ali, seperti unggas yang terbang jauh dari sarangnya untuk mencari arah lebih segar, telah mengembara, bermusafir dan bergelandangan dari sebuah desa kecil di Muar, membawa ke ibukota Kuala Lumpur, sehinggalah ke hampir seluruh pelusuk dunia. Kembara beliau adalah demi menggali dan menyelami identiti seni, jatidiri peribadi, intipati jiwa, dan rasa cinta serta rasa manusiawinya. Walaupun hampir keseluruhan usia dewasanya dihabiskan di luar negara, namun Ali Mabuha ada pengaruh besar dalam sejarah seni lukis tanah air. Dan nama beliau memang tidak boleh dipadamkan dari sorotan naratif Anak Alam, sebuah kolektif atau koloni seniman pelbagai disiplin yang pertama sekali muncul di Malaysia. Ali bersama-sama dengan beberapa orang rakan, khususnya Latiff Mohidin, Mustapa Ibrahim dan Arwah Zulkifli Dahalan, merupakan kelompok teras yang terawal membangunkan idealisme serta semangat, kebohemianan serta keradikalan Anak Alam. Di samping itu, karya-karya awal Ali, terutama yang beraliran surrealisme, sedikit sebanyak menjadi rujukan kepada pelukis-pelukis dari generasi-generasi kemudian. Pameran Kembara di Sarang Seni ini mempertontonkan lebih daripada 200 buah catan dan cetakan yang dihasilkan beliau dari penghujung 1970-an hingga 2011. Sebahagian besar daripada karya-karya ini, yang dikelompokkan ke dalam 15 siri berlainan, mengangkat tema-tema berkaitan situasi sosial, politik dan budaya manusia serta ekologi alam semulajadi. Manakala dari segi gaya pula, kita dapat saksikan perkembangan aliran kesenian Ali daripada surrealisme serba puitis yang penuh terkawal kepada ekspresionisme serba agresif yang meluap-luap; dan sekali-sekala beliau mencuba praktis abstrak. Peralihan gaya ini sekaligus memperlihatkan kepada kita perubahan paradigma dan sikap beliau di dalam menanggap keadaan-keadaan yang menimpa diri beliau sendiri dan juga umat manusia umumnya. Sarat dengan nilai-nilai simbolis dan metaforik, serta padat dengan bidasan-bidasan sosial dan politik, karya-karya Ali menghidangkan sesuatu yang indah dan transendental hingga mampu menggetarkan jiwa-jiwa yang menonton dan menghayatinya. Dan karya-karya ciptaan beliau bakal terus menjadi cerminan dan pantulan kepada alam yang di dalam dan dunia yang di luar diri beliau. |