Pameran Md Sani Md Dom atau Pak Sani adalah sebuah naskah ringan paparan perjalanan dan kehidupannya sebagai insan seni seawal penglibatan yang pastinya akan menggamit nostalgia seribu kenangan dengan persembahan koleksi karya-karya bermula sejak tahun 1960-an hingga 2011. Pameran dan penerbitan ini bukanlah bertaraf Retrospektif tetapi ia dilihat sebagai pendokumentasian penting untuk dimanfaatkan sebagai bahan dan teks rujukan pada masa akan datang. Pencapaian dan namanya mungkin tidak sehebat Seniman Negara, tetapi sumbangan dan kehadirannya sebagai anak seni yang berada lama di dalam industri ini tetap dihargai. Beliau seorang yang gigih berkarya, berpengalaman dan memiliki keunikan tersendiri. Kehadiran beliau dalam perkembangan seni di Malaysia lebih separuh abad lalu ada asas-asas yang menarik untuk dibincangkan dengan kerja-kerja penyelidikan di lapangan. Justeru, pamerannya pada kali ini dapat memberi ruang kepada semua untuk mengamati dan menyusuri citra karya seni beliau. Peluang meninjau kesemua karya–karya beliau di pentas pameran ini difikirkan berupaya mengajak sama penonton untuk menghayati penceritaan yang dimaksudkan oleh pelukis. Seperti yang kita lihat, hampir keseluruhan karya seni beliau mempunyai kekuatan mesej dan maksud yang tersirat, menggalakkan pemerhati membaca dan membuat tafsiran sendiri. Adakalanya ia mendorong pemerhati berfikir di luar kotak untuk memahami dan merungkai pembacaan karya seninya. Kelebihannya mendayausahakan kreativitinya membolehkan beliau menghasilkan karya-karya seni yang bersifat intelektual dan menepati keperluan sejagat. Inilah kekuatan dalaman yang dimiliki oleh pelukis yang pada pandangan penulis bukan sekadar melukis dengan geraktangan sebaliknya adalah dengan mata hati. Ketajaman pancaindera yang dimiliki sedaya upaya membolehkan beliau menghasilkan karya yang punyai dialog tersendiri, pastinya terkesan di hati seseorang pemerhati. Harapan semoga karya-karya seni beliau terus dikenali, dihayati, mendapat perhatian, sokongan dan tentunya diiktiraf sumbangan baktinya . Relevansinya pameran dan penerbitan ini adalah untuk membenarkan pensejarahan dunia seni pelukis ini dirakam dan dikongsi bersama khalayak luar sana. Paling tidak penyelidik dapat menyelami perjuangannya, aspirasi serta kata kunci dan sudut pandangnya terhadap pengkaryaan seninya sepanjang bergelar seniman pelukis. |