
Dilahir pada tahun 1951 di Johor Baru, Ambassador Dato’ Mohd Yusof Ahmad menerima ijazahnya daripada Universiti Malaya pada tahun 1974. Dari tahun 1976 hingga 1977, beliau mengikuti program khas dalam bidang diplomasi dan perhubungan antarabangsa di Oxford University. Beliau seterusnya berkhidmat di Kementerian Luar Negeri dalam pelbagai kapasiti sehingga bersara pada Januari 2010. Sebagai seorang diplomat, beliau pernah bertugas di Vietnam (1978-81), Italy (1981-85), Poland (1988-92) dan Australia (1994-96). Beliau dilantik sebagai Duta Besar ke Peru (akreditasi ke Bolivia dan Colombia) dari tahun 1999-2002 dan Switzerland (akreditasi ke Liechtenstein) pada tahun 2006-2010. Beliau juga banyak mengembara ke pelbagai negara di seluruh dunia sebagai hobi.
Ambassador Dato’ Mohd Yusof mempunyai minat yang mendalam dalam bidang kesenian, terutamanya seni tampak. Beliau juga seorang pengumpul lukisan dan porselin antik. Selain itu, beliau melukis menggunakan cat air dan mengambil foto sebagai hobi. Beliau juga pernah menganjur beberapa pameran, antaranya pelukis terkenal Peru, Simeon Gonzales Ayquipa dan juga pelukis veteran Sarawak Raphael Scott Ahbeng. Pada tahun 2001, beliau telah meminjamkan sebanyak 16 buah karya-karya lukisan pelukis Malaysia dari koleksi beliau sendiri untuk sebuah pameran di Muzium Negara Peru di Lima, termasuk karya-karya pelukis Jalaini Abu Hassan, Rafiee Ghani, Jamil Mat Isa dan Eng Tay di antaranya. Minat beliau yang lain termasuk seni persembahan, penulisan kreatif, muzik, antik dan berkebun.
Ambassador Dato’ Mohd Yusof Ahmad dilantik sebagai Ketua Pengarah Balai Seni Visual Negara pada 7 Jun 2010 dan merupakan Ketua Pengarah pertama yang berlatar belakang diplomatik dan hubungan antarabangsa.
