
RAJA’AH: Seni, Idea & Kreativiti Sulaiman Esa [dari 1950-an – 2011] dirancang sebagai sebuah pameran persis retrospektif yang menghimpun sejumlah karya yang pernah dihasilkan oleh Sulaiman Esa, salah seorang seniman tersohor tanah air. Ia bertujuan memberi peluang kepada khalayak masa kini menyelami bukan cuma perubahan bentuk tetapi yang lebih pentingnya peralihan proses, idea dan konteks yang melatari setiap siri pengkaryaan beliau sepanjang tempoh 50 tahun.
Perkataan raja’ah bererti kemunculan semula, dan secara khusus merujuk kepada peralihan diri manusia dari yang duniawi dan eksistensial ke yang spiritual dan primordial. Dari satu segi, ia perjalanan batini yang terungkap dalam maksud potongan ayat Al-Quran “inna lillahi wa inna ilaihi raji’un” – sesungguhnya kita adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kita kembali. Doktrin atau aqidah raja’ah menjadi pertikaian di kalangan ramai ulama Islam, lebih-lebih lagi dari sudut perkaitannya dengan fahaman Syiah. Begitupun dalam kerangka pameran ini, perkataan raja’ah digunakan semata-mata bagi merujuk kepada kepulangan atau kembalinya Sulaiman kepada sifat-sifat fitrah dan primordial dirinya sesudah hampir setengah abad berkecimpung di lapangan kesenian pendidikan dan kesarjanaan.
Pameran ini dibahagikan kepada empat bahagian utama, dan susunannya menggarisbawahi secara kronologi peralihan ciri-ciri ideatik dan formalistik kesenian Sulaiman Esa. Bahagian Era London: Sebelum dan Selepas mempertontonkan karya-karya terawal beliau sekitar 1950-an, 1960-an dan awal 1970-an. Dihasilkan oleh seorang pelukis yang baru meningkat, karya-karya tersebut mendedahkan banyak pengaruh estetika Barat, dan turut menyingkap usaha-usaha awal beliau merangka gaya serta identiti seni beliau. Sementara segmen Ke Arah Hakikat Mistik pula mempersembahkan karya-karya bernada konseptual-konstruktivis beliau di dekad 1970-an. Digarap secara kolaborasi dengan Almarhum Redza Piyadasa, kumpulan karya yang secara umumnya berlandaskan falsafah-falsafah mistik Timur ini menampilkan percubaan dan eksperimentasi julung kali beliau menggali inti-inti estetika dan budaya tradisional Asia demi menilai semula dan justeru menolak, atas semangat pascamoden dan refleks pascakolonial, gagasan-gagasan seni moden Barat.
Karya-karya dari 1980 hingga 2000 yang kebanyakannya pernah ditayangkan sempena pameran solo beliau pada 2001, diletak di segmen Insyirah. Kelompok karya ini menanda perkembangan selanjutnya seni Sulaiman yang menjurus ke arah pengamalan konsep-konsep Seni Peribumi Melayu dan kemudian Seni Islam dengan penampilan bentuk serta imajan yang mengungkap keperibadian Melayu-Islam beliau dan pemahaman beliau terhadap realiti dunia multikultural. Bahagian terakhir, Raja’ah: Taman-taman Terancam, menghidangkan karya-karya mutakhir beliau. Berbicara dan berkomentar tentang isu-isu sosio-politik-budaya kontemporari, Islamofobia dan terrorisme misalnya, siri ini antara lain melampirkan jukstaposisi imej-imej budaya pop Amerika dengan motif-motif Peribumi-Islami sebagai kritikan ke atas kondisi keracauan pascamoden, proses globalisasi dan kerenah Amerika. Selain daripada empat segmen utama ini, pameran ini turut diserikan dan ditokok nilai dengan kehadiran beberapa karya yang cukup sinonim dengan Sulaiman dan cukup ikonik dalam sejarah seni moden Malaysia.