Pameran Hanya Satu Balai Di Balai (Tatemonologue 2.0) oleh Xeem Noor
Instalasi ini merupakan kesinambungan daripada karya pameran solo artis semasa residensi beliau di Koganecho AIR, Yokohama, Jepun pada tahun 2025 yang bertajuk Tatemonologue. Jika pameran terdahulu memfokuskan tindak balas artis terhadap persekitaran residensi tersebut, instalasi ini pula membawa pulang memori daripada tempoh itu dengan berkongsi ruang dan detik pengalaman yang saling berbalas emosi. Sebuah replika berskala 1:1 Apartmen Yamamoto di Koganecho, iaitu ruang yang diduduki oleh artis sepanjang residensi, dibina menggunakan tiang-tiang rajutan yang dihasilkan di sana, manakala dindingnya terdiri daripada panel fabrik bercetak yang memaparkan imej pengalaman di Koganecho AIR serta surat-surat yang ditulis oleh artis kepada apartmen tersebut. Di tengah ruang instalasi, artis akan berada dan melakukan persembahan sepanjang tempoh pameran melalui penghasilan sebuah permaidani crochet dalam bentuk bebas dan penonton turut dijemput untuk duduk, berkongsi pengalaman bersama artis atau menyumbang secara langsung dalam proses penghasilannya. Sebagai pertukaran terhadap keterbukaan dan pengalaman yang dikongsi oleh artis, penonton diundang untuk memerhati dan menjaga adab, perilaku atau “budi pekerti” mereka, seolah-olah berkunjung ke ruang orang lain, sekali gus mengajak setiap individu untuk sentiasa bersyukur, saling menghargai dan mengamalkan budaya hormat-menghormati dalam sesebuah komuniti.





















