Pameran Projek Arkib Chung Chen Sun
Pameran Projek Arkib Chung Chen Sun bertujuan untuk memperkenalkan dan menghidupkan semula legasi beliau sebagai seorang pelukis dakwat Cina dan pendidik seni yang berpengaruh di Malaysia. Pameran ini memaparkan pelbagai bahan arkib seperti foto, lakaran, katalog dan wawancara, memberikan gambaran mendalam tentang proses kreatif Chung Chen Sun. Selain menonjolkan lukisan dakwat Cina yang menjadi kekuatan beliau, pameran ini juga memperkenalkan karya yang jarang dilihat seperti lukisan minyak dan pastel, memperlihatkan evolusi gaya seni beliau. Sumbangan beliau dalam pendidikan seni turut disoroti, terutamanya sebagai salah seorang pengasas Malaysian Institute of Art (MIA), institusi seni terawal di Malaysia. Projek Arkib Chung Chen Sun adalah siri projek arkib ketiga dan merupakan inisiatif Balai Seni Negara untuk memelihara, mendokumentasi, serta memaparkan warisan seni beliau. Ia bertujuan untuk menggali potensi koleksi arkib bagi menyediakan sumber rujukan yang berharga kepada penyelidik dan kurator, serta memperkaya pemahaman mengenai proses kreatif danimpak beliau terhadap seni tempatan dalam konteks sejarah dan budaya Malaysia. Chung Chen Sun sangat dipengaruhi oleh idea-idea moral yang diambil daripada Sanjiao (Tiga Ajaran), yang menggabungkan ajaran Daoisme, Konfusianisme dan agama Buddha, sementara rumah tradisional di Selatan Tanah Besar China menekankan budaya kekeluargaan dan suku kaum. Oleh itu,pameran ini menggunakan Teori falsafah Konfusianisme sebagai kerangka untuk menyusun atur dan membezakan tema-tema tertentu, selaras dengan fungsi ruang dalam rumah tersebut. Para pengunjung bukan sahaja dapat menelusuri kehidupan seni dan sumbangan artis melalui artifak, tetapi juga dapat mengalami naratif dan merasai pameran ini. Berikut adalah enam segmen dan hubungannya dengan fungsi tradisional rumah, menunjukkan bagaimana ia selaras dengan tema pameran: Nasional ke Antarabangsa, Pertukaran Budaya dan Seni Antara Malaysia & China, Modernisasi Lukisan Dakwat: Gabungan Seni Timur dan Barat, Pendidikan Seni, Peribadi & Keluarga dan Penderma Karya Seni.
Pameran Projek Arkib Chung Chen Sun berlangsung dari 4 Mac sehingga 1 September 2025 di Galeri Potret, Balai Seni Negara.