Anugerah Bakat Muda Sezaman telah berkembang dan menjadi sesuatu yang dinantikan oleh pelukis muda. Anugerah pertandingan ini merupakan satu pentas cabaran untuk seniman muda menilai sejauh mana bakat mereka berkarya dalam era sezaman. Sejak 1974, Anugerah Bakat Muda Sezaman telah memainkan peranan utama untuk mengetengahkan seniman muda Malaysia yang berbakat dan berpotensi dari pelbagai jenis media dan gaya berkarya. Kini kebanyakan mereka telah membina karier yang baik di peringkat tempatan dan antarabangsa. Bermula dengan gagasan DESENTRALISASI 2021, Balai Seni Negara telah menganjurkan pendekatan seni di lokasi, bertujuan untuk mengagihkan sumber artistik, peluang dan ekspresi kreatif kepada khalayak yang lebih luas dan pelbagai dengan memperkasa projek seni berasaskan komuniti, memupuk ciptaan bersama seniman visual lokal dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, memeta dan memperkaya lokasi serta aktiviti seni seluruh negara, seterusnya menjadi tanda aras pendekatan terkini seni kontemporari yang membawa cerminan tatabahasa seni kontemporari global.
Bagi memanjangkan jangka hayat Anugerah Bakat Muda Sezaman 2023, satu program yang diberi nama Program Simposium Bakat Muda Sezaman diwujudkan untuk memberi peluang kepada para peserta terlibat dalam acara ini selama 3 hari yang telah diadakan di Pulau Langkawi, Kedah. Program ini merupakan sesi perkongsian daripada seniman antarabangsa berkaitan seni di lokasi yang dikongsikan kepada para peserta.