Anda tertanya-tanya mengenai pertandingan Bakat Muda Sezaman (BMS29)? Anda ada seribu satu persoalan difikiran? Anda tidak tahu bagaimana untuk menyertai pertandingan ini? Apakah pula Lokasi Spesifik ini?
Adakah anda seorang yang kreatif? Adakah anda mahu menjadi sebaris dengan pelukis terkenal negara? Anda mahu karya anda dinilai oleh pelukis, kurator dan juri antarabangsa? Anda mahu karya anda muncul sebagai pemenang Hadiah Utama bernilai RM40,000?
Jika anda berumur 35 tahun kebawah, anda layak menyertai pertandingan BMS29 ini. Temui pasukan urusetia pertandingan Bakat Muda Sezaman yang akan menjawab segala persoalan anda!
Sesi taklimat ini memberi peluang untuk anda memahami dengan lebih jelas tentang Pentas Pertandingan Seni Kontemporari Luar Biasa yang akan berlangsung di Langkawi ini.
Tarikh: 1, 2, 3, 6 & 7 Oktober 2025
Masa: 3.00 – 4.00 petang
Lokasi: Grey Zone, Balai Seni Negara
Sesi taklimat ini juga akan disiarkan SECARA LANGSUNG di semua platform sosial media Balai Seni Negara. Jadi tunggu apa lagi? Salurkan pertanyaan anda diruang yang tepat. Jangan biarkan diri anda diselubungi misteri.
Jom sertai pertandingan BMS29 ini tanpa ragu-ragu!
#BalaiSeniNegara
#NationalArtGallery
#NAGMalaysia
#NAGLangkawi
#MyMOTAC
#MalaysiaMADANI
PANGGILAN TERBUKA BAKAT MUDA SEZAMAN (BMS29)
Sejak diperkenalkan pada tahun 1974, Anugerah Bakat Muda Sezaman telah menjadi pentas penting bagi seniman muda Malaysia untuk menonjolkan bakat dan potensi. Ramai daripada mereka kini berjaya membina kerjaya cemerlang di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Berdasarkan pemerhatian daripada edisi terdahulu, urusetia mengenal pasti keperluan penambahbaikan khususnya dari aspek kesedaran (awareness) dan kesiapsiagaan (readiness)..
BMS29 memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh penjenamaan melalui wacana seni kontemporari di peringkat antarabangsa melalui penganjuran Simposium Antarabangsa serta penerbitan jurnal, prosiding, dan siri bicara seni. Di samping itu, bengkel peserta BMS29 akan dilaksanakan bagi membangunkan kemahiran dan kesiapsiagaan seniman muda, termasuk latihan berkaitan penyelidikan lapangan, pengurusan seni, pembentangan konsep dan penglibatan komuniti dalam konteks seni di lokasi, seterusnya mempertandingkan karya mereka.
Balai Seni Negara dengan sukacitanya mengumumkan Panggilan Terbuka Bakat Muda Sezaman (BMS29), sebuah platform berprestij yang menghimpunkan seniman muda berbakat tanah air. Program ini memberi peluang kepada generasi baharu untuk mempersembahkan karya seni kontemporari yang segar, kritikal, dan relevan dengan landskap seni masa kini.
Bagi edisi kali ini, penumpuan berkarya akan difokuskan di Langkawi, Kedah, sebagai medan eksplorasi dan pertembungan idea. Langkawi dipilih kerana kedudukannya yang unik sebagai UNESCO Global Geopark, sekali gus membuka ruang untuk penghasilan karya yang berakar pada persekitaran, komuniti, dan naratif setempat.
BMS29 terbuka kepada semua seniman tempatan berusia 35 tahun ke bawah, yang berani menampilkan gagasan kreatif serta idea inovatif melalui karya seni visual dalam pelbagai medium dan pendekatan. Penyertaan ini bukan sahaja menjadi ruang apresiasi terhadap perkembangan seni kontemporari negara, malah membuka laluan untuk pengiktirafan serta peluang jaringan profesional dalam dunia seni.
Keseluruhannya, BMS29 berperanan sebagai wahana penting yang bukan sahaja mengekalkan tradisi pengiktirafan terhadap seniman muda, tetapi juga memperkukuh kedudukannya sebagai platform wacana, pembangunan ilmu, serta persediaan generasi baharu untuk menghadapi cabaran seni kontemporari di peringkat nasional dan antarabangsa.

BERSEDIA UNTUK PANGGILAN TERBUKA PERTANDINGAN BMS29
Panggilan terbuka untuk penyertaan Pertandingan Bakat Muda Sezaman (BMS29) bakal bermula tidak lama lagi, menjanjikan peluang keemasan buat para seniman muda di seluruh negara. Selaras dengan moto BMS edisi ke-29, “Pentas Pertandingan Luar Biasa”, pertandingan ini terus menjadi platform berprestij yang mencabar dan mengiktiraf bakat baharu dalam landskap seni visual Malaysia sejak tahun 1974. BMS bukan sekadar sebuah acara, tetapi sebuah medan untuk seniman muda mengukur potensi dan kematangan karya mereka dalam era kontemporari.
BMS29 mengetengahkan konsep utama “Lokasi Spesifik”. Konsep ini mengajak para peserta untuk menghasilkan karya yang terjalin secara langsung dengan lokasi tertentu yang dipilih. Lebih daripada sekadar meletakkan seni di sesuatu tempat, pertandingan ini mendorong seniman muda untuk menggunakan seni sebagai alat transformatif yang dapat mengubah persepsi dan interaksi penonton terhadap lokasi tersebut. Matlamatnya adalah untuk anda “Buka Jalan”—sama ada dengan mendedahkan naratif tersembunyi, menghidupkan semula ruang yang diabaikan, atau mencetuskan dialog baharu antara seni dan masyarakat.
Justeru, mengapa anda harus merebut peluang ini? (1) BMS29 menawarkan pengiktirafan dan pendedahan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, (2) BMS29 adalah peluang untuk anda mencabar diri sendiri dengan konsep “Lokasi Spesifik”, (3) BMS29 adalah platform untuk anda berhubung dengan komuniti seni yang lebih luas dan menjadi sebahagian daripada warisan seni visual negara yang terus berkembang
Pertandingan ini akan mencabar anda untuk berfikir secara kritis, melakukan penyelidikan mendalam, berinovasi dalam kaedah pendekatan artistic, menghadiri bengkel yang bakal memberi pendedahan dan bimbingan, serta membantu anda menterjemah idea menjadi karya seni. Sertai BMS29, dan jadilah perintis yang membuka jalan baharu dalam seni kontemporari Malaysia.

