PENTAS PERTANDINGAN SENI KONTEMPORARI LUAR BIASA

BERSEDIA UNTUK PANGGILAN TERBUKA PERTANDINGAN BMS29

Panggilan terbuka untuk penyertaan Pertandingan Bakat Muda Sezaman (BMS29) bakal bermula tidak lama lagi, menjanjikan peluang keemasan buat para seniman muda di seluruh negara. Selaras dengan moto BMS edisi ke-29, “Pentas Pertandingan Luar Biasa”, pertandingan ini terus menjadi platform berprestij yang mencabar dan mengiktiraf bakat baharu dalam landskap seni visual Malaysia sejak tahun 1974. BMS bukan sekadar sebuah acara, tetapi sebuah medan untuk seniman muda mengukur potensi dan kematangan karya mereka dalam era kontemporari.

BMS29 mengetengahkan konsep utama “Lokasi Spesifik”. Konsep ini mengajak para peserta untuk menghasilkan karya yang terjalin secara langsung dengan lokasi tertentu yang dipilih. Lebih daripada sekadar meletakkan seni di sesuatu tempat, pertandingan ini mendorong seniman muda untuk menggunakan seni sebagai alat transformatif yang dapat mengubah persepsi dan interaksi penonton terhadap lokasi tersebut. Matlamatnya adalah untuk anda “Buka Jalan”—sama ada dengan mendedahkan naratif tersembunyi, menghidupkan semula ruang yang diabaikan, atau mencetuskan dialog baharu antara seni dan masyarakat.

Justeru, mengapa anda harus merebut peluang ini? (1) BMS29 menawarkan pengiktirafan dan pendedahan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, (2) BMS29 adalah peluang untuk anda mencabar diri sendiri dengan konsep “Lokasi Spesifik”, (3) BMS29 adalah platform untuk anda berhubung dengan komuniti seni yang lebih luas dan menjadi sebahagian daripada warisan seni visual negara yang terus berkembang

Pertandingan ini akan mencabar anda untuk berfikir secara kritis, melakukan penyelidikan mendalam, berinovasi dalam kaedah pendekatan artistic, menghadiri bengkel yang bakal memberi pendedahan dan bimbingan, serta membantu anda menterjemah idea menjadi karya seni. Sertai BMS29, dan jadilah perintis yang membuka jalan baharu dalam seni kontemporari Malaysia.