Siaran Media Pameran Fotografi ‘Foto Cetak’
KUALA LUMPUR – Balai Seni Negara dengan sukacitanya mempamerkan Pameran Fotografi ‘Foto Cetak’ dari 6 Ogos sehingga 26 Ogos 2017 bertempat di Creative Space 1 , Balai Seni Negara. Pameran ini yang memaparkan sebanyak 30 buah karya dari 3 orang pengkarya iaitu Afendi Md Shas, Fadhil Kamarudin, dan Shahril Nawawi . Pameran ini bertujuan memaparkan pelbagai kaedah fotografi (hybrid) yang sedang diamalkan dan cara lama yang masih mendapat perhatian umum. Pengaruh seni digital terhadap seni fotografi juga telah mencorak arena seni fotografi menjadi lebih kreatif dan unik. Melalui pameran ini juga, jurufoto akan berkongsi pengalaman mereka dalam proses penghasilan karya bersama pengunjung.
Perubahan arus teknologi membuatkan semakin ramai pengamal fotografi tidak mencetak foto dan hanya memaparkan hasil fotografi di media sosial seperti Facebook, Instagram dan lain-lain dalam paparan digital. Rentetan dengan itu, pameran ini memperlihatkan beberapa teknik percetakan dengan menggunakan beberapa teknik dan medium didalam pelbagai stail/genre fotografi. Antara medium yang digunakan adalah cetakan foto digital atas kertas foto, cetakan atas acrylic board, cetakan 3 dimensi, cetakan atas kepingan metal, cetakan atas kertas lukisan, teknik lenticular, teknik proses alternatif dan beberapa lagi teknik dan jenis cetakan. Pameran ini secara tidak langsung mengangkat nilai estetika dalam bidang fotografi di Malaysia serta mengajak khalayak untuk menghayati seni fotografi secara lebih mendalam dan terperinci.
Majlis perasmian pameran ini diadakan pada 11 Ogos 2017 jam 3.30 petang yang dirasmikan oleh Encik Md Yusoff Othman,Mantan Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) bertempat di Creative Space 1, Lobi Pentadbiran Balai Seni Negara. Pameran ini dibuka kepada orang ramai dari 6 Ogos 2017 sehingga 26 Ogos 2017. Masuk adalah percuma.