PESERTA
NAMA:
Ammar Idris
LOKASI:
Kuala Lumpur
EMEL:
muhamatammar11@gmail.com

PENERANGAN KARYA:
Karya ini akan diwujudkan dalam bentuk peristiwa (event) yang boleh dirujuk dalam terma seni “Happening” dan bersifat seni partisipatif (Participatory Art). Ruang karya akan dibentuk secara minimal dan berskala kecil dengan perletakan tikar mengkuang sebagai alas duduk kepada tetamu dan dibahagikan kepada tiga kawasan iaitu ruang makan, ruang basuh dan ruang penyediaan. Pada permulaan, pengkarya bersama pembantu pengkarya akan menyediakan terlebih dahulu masakan melayu yang melibatkan bahan utama seperti nasi, tempe, telur, sayur-sayuran berserta minuman cordial berperisa ros (sirap). Pengkarya akan bertindak sebagai tuan rumah yang akan memperlawa pelawat untuk bersama-sama membantu mengagihkan makanan yang telah disediakan awal oleh pengkarya kepada tetamu-tetamu lain untuk mencipta rantaian kerja yang bersifat gotong-royong. Seterusnya makanan tersebut akan dinikmati bersama seperti komuniti kenduri kecil berkonsepkan tradisional yang serba sederhana. Bagi tetamu yang sudi membantu pengkarya dalam melaksanakan karya “Kenduri” ini akan diberikan ganjaran seperti bunga roset yang dimuatkan dengan sekeping wang kertas bernilai RM1. Durasi tempoh karya akan dilaksanakan mengikut perbincangan bersama kurator.
Penyampaian mesej dalam karya ini boleh dipecahkan kepada dua konteks berbeza iaitu dalam konteks masyarakat yang sedang berusaha dalam menjalani norma baru dan di dalam konteks politik dimana pengkarya memberi respon terhadap pengendalian kes pelanggaran SOP yang berbeza oleh pihak atasan terhadap individu-individu tertentu yang bergantung kepada status dan kepentingan yang dimiliki oleh individu tersebut.
1)
Dengan kemunculan wabak pandemik COVID-19, masyarakat Malaysia mula bersusah hati dalam menyesuaikan diri dalam norma baru. Ada di antara masyarakat mula paranoid dengan penukaran cara hidup berbeza yang lebih kepada kelangsungan hidup berbanding keselesaan hidup yang kebiasaan masyarakat amalkan dan rasai disebabkan oleh perubahan ekonomi dunia yang secara langsung menganggu gaya hidup masyakarat.
Mengikut pengalaman pengkarya dalam menjalani norma baru dalam mod kelangsungan hidup. pengkarya memilih makanan alternatif yang lebih murah dan senang didapati seperti tempe. telur dan sayur-sayuran yang boleh dinikmati dibawah kos RM5. Selain itu, makananmakanan ini mempunyai nutrisi-nutrisi lengkap yang diperlukan oleh manusia untuk terus kekal sihat dan bertenaga.
Dalam karya ini pengkarya cuba mengangkat subjek makanan ini sebagai tanda kesyukuran di atas kurniaan yang diberikan oleh Allah S.W.T. Pengkarya mengunakan konsep & cara kenduri yang kebiasaannya dilakukan di kawasan-kawasan kampung kerana sifatnya yang sederhana dan lebih banyak melibatkan interaksi secara gotong-royong ataupun rewang yang lebih intim di antara komuniti setempat dan tuan rumah. Objektif utama pengkarya dalam penghasilkan karya ini adalah untuk berkongsi nikmat dan mewujudkan rasa syukur dalam menjalani kehidupan harian sebagai manusia yang sentiasa penuh dengan pacaroba dan kesulitan.
2)
Kita dapat lihat bagaimana kerajaan cuba sedaya upaya dalam membendung wabak pandemik ini dengan salah satu cara iaitu meletakkan kompaun berjumlah dari RM1500 hingga RM10,000 maksimum bagi individu yang melanggar SOP. Tidak disangkal perkara ini wajib dilakukan oleh pihak kerajaan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat umum.
Namun, baru-baru ini, masyarakat dan media tempatan mula mempersoalkan tentang cara kerja pihak berkuasa yang sepertinya agak berat sebelah ataupun bersifat pilih kasih dalam melaksanakan peraturan ini. Terdapat beberapa kes dimana beberapa individu yang mempunyai status penting dalam politik jelas melanggar SOP di dalam satu majlis makan namun tiada tindakan yang dikenakan oleh individu-individu tersebut. Terbaru, satu majlis persandingan oleh seorang selebriti terkenal yang dihadiri dalam sekitar 150 orang dilihat secara terang terangan melanggar SOP. Pihak berkuasa telah mengambil tindakan dengan membuka surat siasatan dibandingkan dengan satu lagi kes di mana satu keluarga berserta pengantin yang baru sahaja menyelesaikan majlis kahwin dikenakan kompaun serta merta dan mereka juga dibawa terus ke balai polis menggunakan trak polis dengan masih berpakaian serba lengkap pengantin.
Pengkarya cuba memberi respon kepada permasalahan ini dengan mengambil subjek kenduri/majlis sebagai struktur karya kerana ia sangat berhubungkait dengan kes-kes tersebut, selain itu pengkarya meletakkan makna kepada semua objek yang sinonim dengan kenduri ini sebagai simbolik dalam menghapuskan konsep hierarki dan pilih kasih dalam sesebuah komuniti dan masyarakat. Nilai keseimbangan, kesamaan dan toleransi amat pengkarya titikberatkan untuk dijadikan katarsis di dalam karya ini. Sekali gus mengkaji tindakbalas dan respon tetamu yang terlibat dalam menjayakan karya ini.
PENELITIAN IDEA:
-Makanan merupakan salah satu perkara wajib yang perlu ada untuk meneruskan kelangsungan hidup, oleh itu subjek makanan sesuai dan ideal untuk diketengahkan dalam karya ini yang berada di dalam konteks masyarakat kini yang sedang menyesuaikan diri dalam norma baru.
-Pemilihan kenduri tradisional sebagai konsep adalah untuk mencapai nilai kesatuan antara setiap tetamu malah dan tuan rumah (Pengkarya) dengan agihan makanan yangsama rata dan perkakas yang sama. Selain itu tikar mengkuang juga dipilih menjadi tempat menjamah sebagai simbolik kepada penghapusan konsep hierarki.
-Karya ini menggunakan pendekatan fizikal untuk mencipta suasana yang lebih aktif dari segi interaksi sosial dan pergerakan yang masyarakat dambakan setelah ianya dihadkan semasa perintah kawalan pergerakan di seluruh Malaysia. Namun had limitasi penyertaan dan panduan SOP akan ditetapkan mengikut keluasan ruang.
-Kesederhanaan yang ditonjolkan di dalam karya ini dari segi jenis makanan, penyediaan dan peralatan adalah untuk menaikkan nilai syukur kepada setiap individu yang terlibat di dalam karya ini tanpa perlu berkompromi dengan perasaan seronok. Namun pengkarya juga mencadangkan karya ini dilaksanakan di ruang seni (Greydea Studio, TTDI) kerana kawasannya yang lebih elit dari segi taraf & gaya hidup untuk mencipta ironi yang secara tidak langsung menguatkan lagi matlamat pengkarya yang menegaskan kepada cara hidup sederhana dan juga respon kepada kes denda mengenai pelanggaran SOP yang berat sebelah mengikut pandangan pengkarya.
Kenduri tertumpu kepada dua (2) aspek iaitu; (i) hasil refleksi peribadi, dan (ii) juga respon terhadap keadaan “Double standard” atau ‘pilih kasih’ yang berlaku dalam perlaksanaan kompaun kepada individu yang melanggar Standard Operating Procedure (SOP) yang dikuatkuasa oleh kerajaan sebagai langkah pencegahan penularan wabak COVID-19.
Aspek pertama pada karya diangkat sebagai satu bentuk simbol ‘kesyukuran’ yang ingin dikongsi bersama masyarakat dan pada masa yang sama berfungsi sebagai naratif kepada pengalaman peribadi pengkarya. Lauk pauk yang dihidangkan kepada tetamu adalah merupakan simbolik kepada kelangsungan hidup pengkarya yang memperuntukkan harga makanan harian sebanyak RM3 ketika pengkarya bergelar mahasiswa seni.
Manakala aspek kedua pada karya pula memperlihatkan luahan rasa hasil dari observasi kisah sebuah majlis persandingan oleh seorang selebriti terkenal yang dihadiri dalam sekitar 150 orang dan secara terang terangan memperlihatkan pelanggaran Standard Operating Procedure (SOP) semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Fakta kejadian memperlihatkan perbezaan bagaimana pihak berkuasa mengambil tindakan penguatkuasaan dengan membuka ‘kertas siasatan’ terlebih dahulu. Sedangkan jika dibandingkan dengan satu lagi kes kejadian yang sama, sebuah keluarga (bukan selebriti) berserta pengantin yang baru sahaja selesai mengadakan majlis perkahwinan dikenakan tindakan penguatkuasaan berbentuk kompaun serta merta dan mereka dibawa terus ke balai polis dengan menaiki trak polis dalam keadaan masih berpakaian pengantin serba lengkap.
Situasi dan kejadian semasa yang mendapat perhatian masyarakat ini, telah menjadi subjek utama dalam pengkaryaan yang membawa kepada respon peribadi melalui karya yang dihasilkan. Subjek kenduri atau majlis keraian dalam struktur keseluruhan karya dijadikan sebagai metafor yang sangat berhubungkait dengan kejadian tersebut. Penggunaan tikar mengkuang dalam karya sebagai alas duduk bagi tetamu, dan konsep rewang atau gotong-royong, diaplikasikan ke dalam karya dengan penglibatan tetamu menjadi simbolik kepada kesamarataan dan menolak unsur-unsur yang berkonsepkan hierarki dan/atau pilih kasih dalam sesebuah komuniti dan masyarakat. Nilai kesamarataan (equality), keseimbangan, dan toleransi yang diterapkan dalam pengkaryaan diberi penekanan sebagai justifikasi pengkarya dalam memberi respon terhadap situasi dan kejadian tersebut.