PESERTA
NAMA:
- Awang Mohd Zaki bin Awang Suhaili
- Razif Radhi
- Mohamad Zamhari bin Abol Hassan
LOKASI:
Sarawak

Projek Qaleng diinspirasikan dari adat dan budaya masyarakat Melayu di Kuching, Sarawak khasnya yang menjadikan amalan memberikan kuih muih, lauk pauk dan lain-lain menggunakan Qaleng (mangkuk tingkat) kepada saudara mara, jiran tetangga dan komuniti setempat. Qaleng kemudiannya dibawa ke dewan serbaguna untuk disajikan kepada komuniti setempat pada bulan ramadan untuk berbuka puasa. Amalan ini dikatakan masih diteruskan namun semakin pudar dari konsep awalnya yang menggunakan mangkuk tingkat sebagai simbol kepada sedekah, amal jariah dan berbuat kebaikkan di bulan ramadan. Tambahan pula, apabila wabak Korona melanda seluruh dunia dan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) dijalankan, amalan-amalan sebegini tidak lagi dapat diadakan. Justeru itu, Projek Qaleng adalah satu proposisi yang menawarkan untuk amalan ini diteruskan dengan cambahan idea yang mengambilkira norma baharu, adaptasi maya serta teknologi dengan keterlibatan komuniti.
KONSEP
Satu eksplorasi kerjasama/kolaborasi akan dijalankan bersama komuniti, food rider dan seniman seni visual yang mengetengahkan konsep memberi, berkongsi atau sedekah sesuatu sebagai simbolik kasih sayang, kesejahteraan, keamanan, persaudaraan, kesatuan dan rasa belas sesama insan. Komuniti yang dipilih telah pun mengamalkan konsep sedekah Qaleng ini séjak dari dahulu lagi, mereka secara sukarelawan akan bersama-sama memasak, menyediakan Qaleng serta aktiviti-aktiviti seni lain sebagai selitan akan diadakan dalam program ini. Justeru, projek yang diberi nama Projek Qaleng ini, dengan mengambilkira keadaan semasa, teknologi terkini dan norma baharu ingin mengemukakan konsep pemberian makanan (Qaleng) menggunakan khidmat e-hailing/food rider (Food Panda/Grab Food). Khidmat food rider ini diperlukan dan diminta secara sukarelawan. Food rider ini akan bergerak beramai-ramall (mengikut SOP/penjarakan fizikal) dan berpecah untuk menghantar makanan (Qaleng) ke rumah asnaf/orang yang memerlukan di tempat yang berbeza-beza (senarai dari Baitulmal Sarawak). Food rider akan pin lokasi rumah/kawasan asnaf/orang yang memerlukan tadi untuk rekod visualisasi (kegunaan penghasilan karya) dan pemberitahuan umum untuk orang ramai menyalurkan bantuan sekiranya ada yang nak berbuat demikian. Food rider juga akan merekodkan perjalanan (video) mereka dari dewan serbaguna (tempat berkumpul untuk mengambil Qaleng) ke rumah asnaf/orang yang memerlukan.