PROFIL
NAMA:
Muhammad Idrus Bin Mohd Rani
LOKASI:
Malaysia Blind Association, Kuala Lumpur
BIODATA PESERTA:

IDEA DAN KONSEP
Memperkenalkan karya seni kepada golongan kurang upaya(penglihatan) untuk berinteraksi, merasai pengalaman karya visual berdasarkan kemampuan dan kaedah sentuhan yang dimiliki oleh mereka.
Dalam penghasilan karya untuk pertandingan BMS 2023(Seni di Lokasi), interaksi dan potensi serta impak karya seni terhadap ruang persekitaran dan komuniti merupakan idea dan objektif utama dan saya menggunakan karya 3 dimensi sebagai medium kepada saya untuk berinteraksi dengan ruang dan komuniti tersebut. Hal ini adalah kerana karya yang wujud didalam ruang secara automatiknya memberi bentuk serta makna kepada ruang tersebut. Ia juga memberi kesedaran terhadap perhubungan antara pemerhati, ruang dan bentuk melalui bahan dan kaedah yang digunakan untuk menghasilkan karya di ruang tersebut. Disamping itu, karya seni juga boleh berfungsi sebagai simbol kepada perhubungan, tempat dan masa, identiti disesebuah kawasan dan komuniti.
Sudah menjadi sebuah kebiasaaan di ruang pameran, galeri dan muzium kesenian memberi amaran “Jangan Sentuh” atau “Dilarang Sentuh” berdekatan dengan karya yang dipamerkan. Walaupun ia merupakan arahan yang penting untuk memelihara keselamatan karya yang dipamerkan, ia juga seolah menafikan hak kepada mereka yang mempunyai cacat penglihatan untuk melihat dan merasai pengalaman visual bagi karya tersebut.
Oleh itu, dalam penghasilan karya yang bertajuk “Seeing Without Seeing” ini, saya menggunakan kaedah “Braille” sebagai subjek yang akan diolah menjadi satu karya. “Braille” merupakan satu kaedah yang digunakan sebagai alat ekspresi atau bahan pengantara yang penting bagi mereka yang cacat penglihatan untuk membaca dan sebagainya. Ia adalah titik timbulan yang mewakili setiap huruf dan perlu disentuh oleh mereka yang mempunyai cacat penglihatan untuk membaca dan sebagainya. Kaedah sentuhan ini telah membantu berjuta-juta orang yang mempunyai cacat penglihatan membaca dan menulis sejak perkembangannya pada abad ke-19.
Tetapi bagaimana pula dengan karya seni? Bagaimana mereka yang cacat penglihatan untuk melihat dan merasai pengalaman sebuah karya seni? Dan bagaimana kita sebagai pengkarya untuk berinteraksi dengan mereka agar mereka dapat merasai dan menghargai karya seni yang kita hasilkan.
Oleh itu, saya menggunakan subjek “Braille” yang disampaikan dengan menggunakan kaedah typografi dan diangkat menjadi sebuah karya. Hal adalah kerana typografi amat dekat dengan masyarakat dan komuniti kita. Hampir kesemua persekitaran kita mempunyai elemen typografi seperti papan tanda, buku, iklan, dan lain-lain. Mungkin karya yang akan dihasilkan dengan menggunakan subjek “Braille” ini boleh ditafsir sebagai pengenalan kepada karya ini, atau boleh dijadikan sebagai pengenalan untuk menceritakan biografi komuniti/masyarakat setempat bergantung kepada bagaimana kita atau komuniti persekitaran bertindak balas terhadap karya ini. Ia juga digunakan sebagai kajian untuk melihat tindak balas persekitaran terhadap bentukan dan binaan karya ini sendiri sama ada berjaya atau tidak untuk menyampaikan idea dan kajian yang hendak atau akan dilakukan. Segala aktiviti dan proses ini kemungkinan akan direkod dan menjadi sebahagian daripada kajian seni di lokasi untuk karya ini.