PESERTA
CADANGAN KARYA
Alam maya, ruang tanpa batasan bertopengkan anonimasi dan artifisial.
Idea dan konsep alam maya ini muncul sebagai ilham saya setelah lesu melihat ragam komuniti alam maya, terutamanya di media sosial seperti Tiktok, Instagram, Twitter dan Youtube. Ini tidak bererti saya hanya mempertikaikan ragam komuniti sahaja malahan turut menujukan terhadap diri saya sendiri yang tidak terlepas daripada perbuatan untuk menjana retweet dan like. Kelakuan saya ini membuat diri rasa gelisah apabila diri ini makin sukar untuk membuang tabiat ketagihan alam maya yang mula menanamkan sifat serta personaliti artifisial dan seterusnya sifat hedonistik.
Apakah kaitannya antara alam maya dan hedonisme? Hedonisme dalam proses awalnya iaitu Cyrenaics diasaskan oleh Aristippus yang dilahirkan pada 435-356 BCE. Beliau dikatakan telah hidup dalam berlebih-lebihan dan mendukung Cyrenaics sebagai ajaran bahawa kesenangan dan nafsu adalah kebaikan tertinggi. Kepuasan sendiri adalah lebih penting dan kesakitan mesti dielakkan (The Editors of Encyclopaedia Britannica, n.d.). Armstrong mengatakan bahawa gaya hidup hedonis adalah gaya hidup untuk mencari kesenangan hidup, seperti menghabiskan lebih banyak masa di luar rumah, bermain lebih banyak, menikmati keramaian di bandar, kepuasan membeli barang-barang mahal disukai, dan selalu mahu menjadi pusat perhatian (Chaney, 2009). Laporan Sinar Harian (2013) menjelaskan terdapat pelbagai punca budaya hedonisme ini menular dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Menurut Budi Kurniawan (2018), media sosial terutamanya TikTok menayangkan hiburan dan menanamkan pembinaan gaya hidup golongan atasan di kalangan pengguna aplikasi tersebut. Kebanyakan akaun-akaun TikTok ini menunjukkan tabiat hedonis dan materialistik. Berikutan itu. individu yang berstatus rendah akan berasa terancam akan video ‘influencer tersebut, lalu akan cenderung untuk menyembunyikan status rendahnya dengan membeli produk hedonik (Sivanathan and Pettit, 2010; Bhattacharya, 2012). Seterusnya, makin ramai tertimbul semangat untuk berkompetisi sebagai pembuat konten yang paling menarik dan popular sambil tampil di khalayak penonton berdasarkan trend challenge’ yang dianjurkan kerap kali (El-Yana, 2021).
Apabila kita melihat pada sosial media, kadang-kala berasa kagum dan iri hati terhadap kejayaan, pemilikan harta benda, kebahagiaan dan lakunya sesebuah bisnes. Berdasarkan kajian oleh Prilyantinasari & Mulyana (n.d.), remaja yang melihat post oleh akaun popular akan berasa rendah diri atas kerana perbezaan gaya hidup hedonik. Lalu ia menimbulkan ketidakselesaan yang disebut sebagai *dissonance’ yang mempunyai indikator seperti kebencian, cemburu, kemarahan dan selalu membandingkan diri dengan orang lain. Yang artis baru mungkin mencemburui artis yang mempunyai pengikut berjumlah 1 ribu, yang artis berpengikut 1 ribu mencemburui artis yang menakluki keratan akhbar dan siaran televisyen. Namun sedar atau tidak, kesemua mereka telah terperangkap. Terperangkap dalam satu sarang yakni sarang labah-labah namun dalam alam maya ini, apakah labah labahnya? Keseronokan, kepuasan, kemasyhuran dan nama disebut-sebut di sana sini malah seperti disembah juga.
Alam maya bagi saya adalah juga suatu ajakan, ajakan ke arah ketagihan dan perangkap. Setiap kata kata mahupun teks pendek mampu mengundang pertelingkahan. Kemasyhuran yang dikecapi segelintir para rakan pelukis saya perhati dan mereka mula mengeluh bahawa mereka berasa terperangkap dan tidak bebas untuk meluahkan pandangan kerana risiko perbalahan angkara salah faham. Berikutan itu, mereka berupaya untuk ‘di-cancelled’ oleh orang ramai pada bila-bila masa. Mengikut kamus Cambridge, cancel culture ini bermaksud, kelakuan dalam masyarakat atau kumpulan, terutama di media sosial, di mana lazimnya menolak sepenuhnya dan berhenti menyokong seseorang kerana mereka telah mengatakan atau melakukan sesuatu yang menyinggung perasaan yang tersinggung.
PENYATAAN KARYA
Penyataan Karya
Secara keseluruhannya, Alam Maya ini adalah ilustrasi di mana terdapat tangan yang serba halus dan lembut yang mengundang pengguna maya ke dalamnya. Pengguna dikaburkan dengan kabus halus seperti gula-gula kapas yang menghalang mereka daripada melihat realiti sebenar alam maya atau sosial media. Setelah mengejar retweet dan like dan menjadi masyhur, mereka telah terperangkap di sarang yang labah-labahnya adalah Aristippus. Aristippus di sini berada dalam keadaan “glitched’ seperti sebuah virus dalam alam maya. Matahari di belakangnya melambangkan dewa Ra dalam bentuk maya (lantas berbelang seperti di skrin alatan elektronik) yang dianggap sebagai raja tuhan. Dan dalam karya ini, hedonisme Aristippus dijadikan tuhan dalam alam maya di mana kepuasan sendiri adalah penting daripada orang lain. Sebenarnya pengguna alam maya mampu melihat dari jauh dan sedar akan perangkap namun tidak mengambil peduli sebab hasutan yang halus itu lebih hebat.
KARYA AKHIR
Live
-
0% 5 / 5
Live
-
0% 3 / 3