PESERTA
NAMA:
Siti Nurulfaidah Binti Nazeri
Nur ‘Aqilah Binti Zainuddin
LOKASI:
Selangor
EMEL:
faidahnazeri@gmail.com
BIODATA PESERTA:

Deskripsi Pameran (Malay Proverb Interactive Artshow)
Peribahasa Melayu menjadi tema Pameran seni interaktif ini. Tujuan pameran ini diadakan adalah untuk memperkenalkan kepada masyarakat tentang kepentingan mempelajari peribahasa Melayu yang semakin dilupakan dengan cara dan pendekatan yang baharu dan lebih menyeronokkan. Di luar negara, dinding interaktif semakin popular dan berkembang dengan pesatnya berbanding Malaysia. Dengan ini, kami cuba memperkenalkan pameran lukisan interaktif ini di institusi-institusi pembelajaran seperti sekolah, universiti, pusat beli belah, dan tempat-tempat awam yang melibatkan masyarakat. Pengunjung boleh berinteraksi terus dengan hasil karya yang dipamerkan. Pameran Seni interaktif ini berkonsepkan pengembaraan sambil belajar peribahasa Melayu. Sebelum memasuki ruang pameran, pengunjung diberi masa untuk membaca info tentang peribahasa. Kemudian pengunjung boleh memulakan pengembaraan ke setiap karya. Sebaik sahaja pengunjung berdiri dihadapan karya, lampu automatik yang berada di atas karya akan menyala. Setelah itu, akan keluar suara dari speaker yang diletakkan berhampiran karya. Pengunjung diberi masa dan perlu meneka peribahasa apa yang sesuai dengan karya. Dibawah setiap karya terdapat dua butang sensor. Pengunjung boleh menekan kedua-dua butang sensor tersebut untuk mengetahui jawapan dan makna peribahasa yang berkaitan dengan karya. Setelah selesai, pengunjung boleh meneruskan pengembaraan ke karya-karya yang lain sehingga tamat.
Peribahasa ialah suatu susunan kata dalam bentuk kiasan dan berlapik yang mengandungi ungkapan atau kata-kata yang padat serta mengandungi perkara-perkara yang berkait rapat dengan pengalaman manusia dalam pelbagai aspek kehidupan (Wikipedia.com). la merupakan kata-kata yang penuh dengan kebijaksanaan dan mengandungi pengertian yang tertentu. Peribahasa adalah manifestasi pemikiran genius orang Melayu dan sejak dulu lagi kelompok kata ini berperanan penting untuk menyampaikan nasihat serta mesej yang memberi manfaat kepada masyarakat.
(Ismail Ahmad, 2015). Peribahasa dalam Bahasa Melayu dibahagikan kepada empat iaitu perumpamaan, simpulan Bahasa, bidalan dan pepatah (Kamus Sastera Melayu 2000: 69). Orang Melayu menggunakan kebijaksanaan mereka untuk meneliti tanda-tanda dan unsur alam bagi melahirkan ungkapan yang indah tentangnya dalam peribahasa. Namun, keindahan peribahasa yang menjadi warisan budaya masyarakat Melayu ini dilihat semakin dilupakan oleh generasi muda pada masakini sehingga ada segelintir yang tidak tahu mengenai maksud peribahasa yang diperkatakan.
“Malay Proverb Interactive Art Show” merupakan satu pameran seni yang ingin dihasilkan sebagai inisiatif bagi menyedarkan masyarakat tentang kepentingan peninggalan warisan bangsa sekaligus membangkitkan semula perasaan cinta dan kefahaman masyarakat tentang falsafah kebijaksanaan bangsa Melayu dengan kaedah “Kontemporari” dan lebih menyeronokkan.
Objektif
1) Menggunakan peribahasa Melayu sebagai subjek utama dan tema dalam menghasilkan pameran seni interaktif (kontemporari).
2) Menghasilkan karya dan pameran seni interaktif (kontemporari) di ruangan terbuka yang melibatkan golongan muda dan masyarakat dengan konsep dan konteks yang baru.
3) Memberi kesedaran dan membangkitkan semula perasaan cinta kepada warisan bangsa yang tak terhingga nilainya kepada golongan muda dan masyarakat.