NAMA:
Muhammad Zulkarnaen bin Mohd Zaine
Pesan Ibu: Tutup mata kalau ada babak seksi ialah nasihat yang sering kedengaran oleh anak-anak dalam dunia kekeluargaan kaum Melayu. Nasihat ini acapkali disampaikan oleh kaum ibu atau golongan dewasa ketika bersama-sama menonton filem atau drama yang menayangkan imej seksi di kaca televisyen. Sebagai contoh, filem-filem bollywood atau dikenali oleh orang tempatan sebagai cerita Hindustan. Apabila babak “terlarang” ini muncul, kebiasaannya anak-anak kecil akan menutup mata mereka dengan bantal, telapak tangan dan apa-apa objek oblik. Selain daripada filem, apa-apa imej seksi dan “keterlaluan” yang terpapar di muka akhbar, majalah, buku dan lain-lain akan tetap dihalang keras oleh ibu-bapa. Tujuan larangan ini adalah untuk memastikan golongan anak kecil tidak mudah terdedah dengan gelagat yang kurang sopan dan bertentangan dengan moral sebagai seorang Melayu Islam. Jika tidak dibendung, aksi-aksi ini akan memberi impak negatif dan mempengaruhi nafsu seseorang yang seharusnya dikawal dengan baik.