Kiriman

Siaran Media Perasmian Peluang = Peluang

MAJLIS PERASMIAN PELUANG = POTENSI

KUALA LUMPUR, 31hb MEI 2016– Balai Seni Visual Negara (BSVN) hari ini telah mengadakan Majlis Perasmian Pameran PELUANG = POTENSI yang dirasmikan oleh YM Raja Ahmad Aminullah Bin Raja Abdullah, Kolektor Seni pada 31hb Mei 2016 (Selasa) pada jam 3.00 petang bertempat di Creative Space, Bangunan Pentadbiran LPSVN.

Pameran ini diadakan dalam usaha menyokong inisiatif TEACH FOR THE NEEDS (TFTN) bagi memupuk minat kanak-kanak dalam bidang seni untuk mengekspresikan diri. Untuk makluman Projek Seni Lukis ini melibatkan anak-anak yatim dan kurang kemampuan yang bertujuan memberi bimbingan dan motivasi kepada mereka terutama dalam mengungkapkan tema yang cukup dekat dengan jiwa kanak-kanak melalui lukisan dengan tema seperti Potret Diri, Rumah Saya, Sahabat Saya, Kerjaya Impian Saya, Kereta Impian Saya, Bangunan yang Cantik dan Mimpi Saya.

Projek ini disokong oleh 2 orang seniman tempatan iaitu MOHAMAD FAREZ ABDUL KARIM dan SAMSUDIN LAPPO sebagai tenaga pengajar untuk memberi tunjuk ajar dan dorongan dalam penghasilan 115 buah karya. Usaha oleh tenaga pengajar TFTN yang secara sukarela membantu mereka dalam berimaginasi untuk memupuk rasa kecintaan terhadap seni wajar diberikan perhatian.

Sebanyak 7 buah rumah anak yatim yang terlibat dalam Projek Seni Lukis ini iaitu BAITUL HUSNA INSYIRAH (KUANTAN), PKAYLA AL-IHSAN (KUALA LIPIS), RTH JENGKA, RUMAH AL-HIJRAH (KEMAMAN), PKAYI BATU PAHAT, TAHFIZ FUGAHA (BANGI) DAN AL-KAHIRIYAH.

Para peminat seni turut berpeluang untuk memiliki karya yang dihasilkan oleh kanak-kanak ini dimana melalui hasil jualan karya tersebut akan disalurkan ke rumah kebajikan mereka dalam usaha membantu perbelanjaan harian mereka. Selain daripada itu, ianya akan membuka peluang kepada bakat-bakat muda ini untuk memperkasakan hasil seni mereka dengan berkongsi pendapat bersama khalayak yang hadir.

Para pelawat boleh menghayati hasil karya yang dilukis berinspirasikan imaginasi kanak-kanak yang cukup berbakat ini yang telah dibuka kepada orang ramai pada 28hb Mei 2016 sehingga 12hb Jun 2016 jam 10 pagi sehingga 6.00 petang di Creative Space Bangunan Pentadbiran Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara. Orang ramai dijemput hadir.

Majlis Perasmian Pameran Pemetaan

KUALA LUMPUR, 11 Mac 2016– Balai Seni Visual Negara (BSVN) hari ini telah mengadakan Majlis Perasmian Pameran PEMETAAN yang dilancarkan oleh YB Datuk Mas Ermieyati Binti Samsudin 11hb Mac 2016 (Jumaat) jam 3.00 petang.

Pemetaan adalah sebuah tinjauan sejarah seni lukis moden Malaysia yang dianjurkan secara berperingkat sehingga tahun 2017 meliputi empat segmen secara periodical iaitu“PEMBENTUKAN” 91920-1940), “PERALIHAN (1950-1970”, “PENILAIAN” (1980-1990) dan “PERCAMPURAN” (1990-2000).

Pameran ini meliputi dua segmen iaitu “PEMBENTUKAN” yang merupakan permulaan aktiviti seni melalui pertubuhan persatuan dan pergerakan oleh individu sejak dari tahun 1920 sehingga 1940 sehingga kepada pembentukan akademi seni dan ”PERALIHAN”. Manakala“PERALIHAN” melihat kepada perubahan berdasarkan pengaruh latar belakang akademik secara formal dalam pembentukan gaya dan pemikiran artis dalam menghasilkan karya sejak daripada awal 1950 sehingga 1970.

Koleksi dan artis yang terpilih ini adalah dinilai daripada penyelidikan kuratorial berdasarkan sejarah dan secara akademik. Artis dan objek seni, adalah trajektori kepada perkembangan seni lukis MALAYSIA. Pameran ini juga merupakan penilaian semula dengan mencantumkan bukti-bukti dari bahan arkival sebagai sorotan kembali dan memetakan seni MALAYSIA secara kronologi..

Justeru itu,para pelawat boleh mengunjungi pameran yang cukup berbeza ini dan memahami sendiri mengenai pameran yang dianjurkan.Pameran ini bermula pada 2 Februari 2016 sehingga 31 Mac 2016 jam 10 pagi sehingga 6.00 petang di Lobi Bangunan Balai Seni Visual Negara.