Bakat Muda Sezaman 2016

Poster-BMS

Bakat Muda Sezaman 2016 (BMS’16) atau Young Contemporary Award merupakan sebuah pertandingan yang mengenengahkan karya-karya pemenang yang diiktiraf oleh Balai Seni Visual Negara. Pertandingan ini bertujuan untuk melahirkan pelapis muda yang berpotensi dalam Seni Kontemporari di Malaysia.

Pertandingan ini telah diperkenalkan sejak tahun 1974 dan merupakan antara pertandingan berprestij yang memberi penganugerahan kepada pelukis muda dalam membina karier. Sejak diperkenalkan, BMS telah melahirkan ramai pelukis berbakat besar yang telah menyumbang kepada perkembangan seni tampak negara termasuklah acara biennale dan triennale di peringkat antarabangsa. Peluang dan anugerah yang diberikan menjadi landasan kepada pelukis muda untuk mengorak langkah ke peringkat lebih tinggi dan lebih professional.

Hadiah insentif bagi Pemenang Utama pertandingan ini sebanyak RM 25,000.00 dan  anugerah juri berjumlah RM 5,000.00 kepada 5 orang pemenang yang dipilih. Insentif ini merupakan sokongan kerajaan kepada pelukis muda bagi mempertingkatkan hasil kerja dan memberi peluang dalam melahirkan pelukis muda yang berpotensi.

Seramai 62 orang peserta yang menyertai pertandingan Anugerah Bakat Muda Sezaman pada tahun ini. Seramai 33 orang darinya telah terpilih melepasi penghakiman untuk ke saringan tahap ke-2. Penghakiman yang dilangsungkan oleh para juri pada peringkat pertama melalui penilaian dari beberapa proposal, slaid dan gambar cadangan karya peserta. Barisan juri berpendapat adalah penting bagi peserta mematuhi peraturan dan syarat pertandingan untuk terpilih ke pertandingan ini. Pemilihan karya peserta ke peringkat akhir dilakukan dengan menitikberatkan kekemasan karya dan statement pengkarya melalui contoh proposal yang pernah dihasilkan sebelum ini.

Balai Seni Visual Negara selaku penganjur pertandingan yang menyediakan anugerah kepada pengkarya bakat muda sezaman, berharap  peserta BMS’16 bersedia menyesuaikan diri dengan segala perubahan perkembangan seni dan berupaya untuk mempersembahkan idea inovatif dalam seni kontemporari masa kini.

BMS2

BMS3