Siaran Media Pameran 3 Belas
KUALA LUMPUR – Balai Seni Negara dengan sukacitanya menganjurkan Pameran 3BELAS dari 16 Disember 2017 hingga 16 Januari 2018 bertempat di Creative Space 1, Balai Seni Negara. Pameran ini menggambarkan betapa pentingnya rasa disayangi serta diberi perhatian dan tumpuan dalam menghadapi perkembangan dunia yang sangat pantas, secara sedar atau tidak telah menghakis dan menghilangkan satu ‘rasa’ yang menjadikan seseorang manusia itu mulia dan beradab. Inilah yang dikongsikan bersama oleh tiga pelukis muda yang dipilih dalam pameran yang membawa tema 3BELAS. Walaupun begitu, tema 3BELAS ini mempunyai sisinya yang tersendiri daripada pameran mega KL Biennale 2017 kerana setiap dari mereka mempunyai cerita belas yang mampu membuatkan karya mereka untuk dijiwai.
Tiga orang pelukis muda yang dipilih itu adalah Shaliza Juanna, Elaine Wong dan Shin Pui San. Mereka digandingkan bersama untuk kali pertama bagi menunjukkan keunikan karya seni mereka. Keunikan setiap karya mereka sedikit sebanyak telah menyentuh aspek BELAS manusia tanpa disedari. Pameran 3BELAS bakal menghimpunkan hampir 40 buah karya termasuk karya bersiri. Karya-karya yang akan dipamerkan terdiri daripada pelbagai lukisan, karya-karya instalasi, serta video dokumentasi.
Soft launch bagi pameran ini diadakan pada 22 Disember 2017 pada jam 3 petang bertempat di Galeri Creative Space 1, Balai Seni Negara, Kuala Lumpur. Majlis perasmian pameran ini akan disempurnakan oleh YBrs. Puan Khaidirah Datuk Seri Abu Zahar, Exco Puteri Umno Malaysia. Pameran ini dibuka kepada orang ramai dari 16 Disember 2017 sehingga 16 Januari 2018. Masuk adalah percuma.