Balai Seni Negara ini ditubuhkan pada 28 Ogos 1958, setahun selepas Malaysia mencapai kemerdekaan  dari jajahan British. Galeri ini merupakan badan berkanun yang menerima geran tahunan dari Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia. Galeri ini juga menerima sumbangan dari badan korporat dan penaja untuk mengadakan aktiviti-aktiviti seni sampingan.

Dalam usaha untuk mempromosi kesedaran dan apresiasi seni di seluruh peringkat masyarakat, objektif utama Balai Seni Negara adalah untuk mempersembahkan pameran dari dalam dan luar negara, mengadakan seminar, bengkel, pertandingan dan aktiviti seni lain serta berusaha untuk memperkembangkan koleksi tetapnya yang kini merangkumi lebih daripada 2,500 karya. Dalam kata lain, kami ingin memupuk aktiviti kepakaran dan ingin menubuhkan koleksi seni kebangsaan.

Bangunan yang mempunyai ciri-ciri senibina yang tersendiri ini terletak di antara Istana Budaya dan Perpustakaan Negara Malaysia. Kedudukannya juga tidak jauh dari Kuala Lumpur City Center (Menara Kembar Petronas KLCC) dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Bangunan BSN mempunyai 7 buah galeri, sebuah bengkel dan gedung kreatif, pusat sumber, sebuah oditorium yang dapat memuatkan 144 tempat duduk dan juga pejabat bahagian pentadbiran BSN.

Bangunan Balai Seni Negara kini terletak di No 2, Jalan Temerloh, Off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Bangunan ini telah dibina dengan kos RM 40 juta di atas tanah yang berkeluasan 15 ribu kaki persegi. Rekabentuk unik yang menggabungkan elemen prinsip tradisional dan moden, kerangka berbentuk “A” yang dikelilingi atap berjubin cermin dan ruangan yang mampu memberikan pandangan dari pelbagai sudut ini direka oleh Dato’ Mir Shariman Mir Saharuddin yang memenangi pertandingan merekabentuk bangunan baru BSN ini.