Sejarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) adalah rentetan penubuhan Balai Seni Lukis Negara (BSLN) bermula bilamana idea penubuhannya mula dikemukakan sejak tahun 1954 hingga 1956 oleh Majlis Kesenian Persekutuan (Malaya Arts Council) yang ditunjangi oleh Mubin Sheppard (kini Tan Sri) dan Frank Sullivan. Sebagaimana Laporan Tahunan BSLN 1974 – 1975 dan Laporan Tahunan Muzium Seni Negara 1979, Lembaga Amanah BSLN dibentuk pada 3 Jun 1958. Pada 27 Ogos 1958, sebuah bangunan dua tingkat yang terletak di No. 109, Jalan Ampang, Kuala Lumpur – bersebelahan bangunan parlimen pertama Malaysia (waktu itu dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu)– telah diperuntukkan oleh kerajaan bagi menempatkan dengan rasminya institusi Balai Seni Lukis Negara (BSLN). Ordinan untuk menubuhkan Lembaga Amanah BSLN dimaktubkan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada tahun 1959 melalui Akta 516: Akta Balai Seni Lukis Negara 1959.
|
|
Penubuhan dan pengisytiharan pembukaan rasmi Balai Seni Lukis Negara (BSLN) itu disempurnakan oleh Perdana Menteri waktu itu yang juga Perdana Menteri pertama iaitu TYT Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Perasmian itu disertai oleh satu pameran sulung di Dewan Tunku Abdul Rahman bangunan tersebut yang telah disertai pelukis-pelukis seluruh negara bagai menyatakan semangat kesepakatan dan perpaduan melalui penyertaan karya-karya mereka. Sesungguhya, penubuhan Balai Seni Lukis Negara (BSLN) juga merupakan satu pengiktirafan kerajaan terhadap bidang seni lukis tanahair. |
|
Frank Sullivan telah dilantik sebagai pentadbir Balai Seni Lukis Negara (BSLN) yang pertama. Beliau yang juga adalah bekas setiausaha kepada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj turut bertindak sebagai setiausaha Lembaga Amanah, Balai Seni Lukis Negara (BSLN) sehingga tahun 1970. Pada 28 Januari 1987, telah diadakan Majlis Pecah Tanah untuk bangunan baru Balai Seni Lukis Negara di sebuah tapak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Pembinaan bangunan baru ini adalah melalui proses penswastaan di antara Kerajaan Malaysia dengan Syarikat Yeoh Tiong Lay (YTL). Proses pembinaan siap pada tahun 1998 | |
Pada 13 November 1998, Balai Seni Lukis Negara (BSLN) berpindah ke premis bangunannya sendiri kini di No.2, Jalan Temerloh, Off Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur serentak dengan pelancaran Pameran Seni Lukis Antarabangsa Asia Ke-13. Premis bangunan baru Balai Seni Lukis Negara (BSVN) ini telah dirasmikan oleh Y.A.B. Dato’ Seri Dr. Mahathir bin Mohamad (kini Tun) pada 27 September 2000. |
|
Pada 26 September 2011 – Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Dato’ Sri Utama Dr. Rais Yatim telah merasmikan Majlis Pelancaran Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2011 (Akta 724) yang membawa kepada penukaran nama dari Balai Seni Lukis Negara (BSLN) kepada Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN). |
|
Majlis tersebut juga dihadiri oleh Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha dan Timbalan Ketua Setiausaha serta wakil-wakil agensi KPKK selain rakan-rakan korporat dan media yang turut sama menyaksikan pelancaran yang bersejarah bagi LPSVN. |
|
Dengan pewartaan Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2011 (Akta 724), Akta ini membolehkan Lembaga Penbangunan Seni Visual Negara (LPSVN) beroperasi bukan sahaja sebagai sebuah galeri tetapi juga sebagai pemangkin kepada pembangunan industri seni visual tanahair melalui program-program pembangunan dan bantuan-bantuan lain yang perlu. (Rujukan : Seksyen 4 (f) dan (i)). |
|
Akta ini juga mentakrifkan, apa-apa bentuk seni yang dihasilkan menarik kepada deria visual dan wujud dalam bentuk kekal seperti fotografi, multimedia dan apa-apa bentuk teknologi yang menarik, berbanding akta lama yang lebih menjurus kepada seni lukis sahaja. | |
Kerajaan merasakan Akta Balai Seni Lukis Negara 1959 yang telah sekian lama digunapakai perlu di tambahbaik bagi memberi fokus yang lebih luas selaras dengan tuntutan dan perkembangan seni visual di peringkat antarabangsa. | |
Akta Balai Seni Lukis Negara 1959 dengan ini digantikan dengan Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2011 (Akta 724) berkuatkuasa mulai 27 Ogos 2011 yang lalu. Tarikh ini diambil bersempena dengan ulang tahun penubuhan Balai Seni Lukis Negara yang ke 53. | |
Selain itu, akta ini juga membolehkan LPSVN mengembangkan operasinya ke negeri-negeri berbanding akta lama hanya membenarkan galeri beroperasi di Kuala Lumpur sahaja (Rujukan : Seksyen 30 (2)). | |
Dengan termaktubnya Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara 2011 (Akta 724), diharap misi LPSVN untuk mengumpul, memulihara, memelihara, mempamer, mempromosi, memupuk kesedaran, kefahaman dan penghayatan terhadap seni kepada semua lapisan masyarakat akan lebih terlaksana selain membolehkan LPSVN menetapkan standard dan mutu seni visual supaya koleksi-koleksi seni visual Negara mendapat pengiktirafan yang lebih tinggi melalui pewartaan akta tersebut. | |
Berikut adalah ringkasan kronologi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) sejak ia ditubuhkan : | |
27 Ogos 1958 – Balai Seni Lukis Negara ditubuh dengan rasminya melalui Akta Balai Seni Lukis Negara. Pengarah Balai Seni Lukis Negara yang pertama ketika itu ialah Encik Frank Sullivan | |
3 Oktober 2007 – Rang Undang-undang Lembaga Pembangunan Seni Tampak Negara telah diluluskan oleh Jemaah Menteri bagi memansuhkan Akta Balai Seni Lukis Negara 1959 | |
26 November 2007 – Bacaan kali pertama Rang Undang-undang Lembaga Pembangunan Seni Tampak Negara di Parlimen | |
Tahun 2008 – RUU Lembaga Pembangunan Seni Tampak Negara ditarik balik kerana perkataan Tampak memberi maksud yang berbeza bagi sesetengah kaum di Sabah | |
16 Julai 2010 –RUU Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara dibentangkan dan dipersetujui oleh Jemaah Menteri | |
11 Oktober 2010 – Bacaan kali pertama RUU Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara di Dewan Rakyat | |
15 Disember 2010 – Bacaan kali kedua dan ketiga di Dewan Rakyat | |
22 Disember 2010 – Pembentangan di Dewan Negara | |
24 Januari 2011 – Diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong | |
27 Januari 2011 – Disiarkan dalam warta | |
27 Ogos 2011 – Penguatkuasaan Akta | |
26 September 2011 – Majlis Pelancaran Akta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara oleh YB Menteri KPKK | |
Sejak ditubuhkan, Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) pernah dinaungi oleh beberapa kementerian. Antaranya ialah : | |
Kementerian Belia dan Sukan | |
Kementerian Pelancongan | |
Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan | |
Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan | |
Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (April 2009 hingga Mei 2013) | |
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan |