Siaran Media Pameran Pelukis Kedah

KUALA LUMPUR – Balai Seni Negara dengan sukacitanya menganjurkan Pameran Pelukis Kedah Sempena Ulangtahun Ke-40 Tahun Angkatan Pelukis Kedah dari 7 September 2017 sehingga 30 September 2017 bertempat di Creative Space 3 , Balai Seni Negara. Pameran ini memberikan gambaran yang menarik dengan memilih 46 karya dari 46 pelukis dari keseluruhan 85 karya yang dihantar oleh 59 orang pelukis untuk disaring di Muzium Negeri Kedah. Pameran ini juga mempamerkan 12 karya pelukis kelahiran Kedah dari pelbagai jenis kategori seperti catan, arca dan seni video dari Himpunan Koleksi Negara dan koleksi persendirian.

Pameran ini merupakan sebuah penghargaan atas sumbangan pelukis-pelukis dari negeri Kedah dan perjuangan APK yang telah masuk tahun ke-40 dalam berkongsi visi dengan para pemegang taruh dan kerajaan negeri untuk membangunkan strategi yang bersesuaian kepada masyarakat dan pelukis ke arah tanggungjawab sosial, pertambahan pendapatan dan memapan ekonomi melalui industri seni. Melaluinya nama Malaysia juga telah diharumkan oleh beberapa pelukis anak-anak negeri Kedah seperti Dato’ Ibrahim Hussein, Dato’ Sharifah Fatimah Syed Zubir, Amron Omar, Anuar Rashid, Fauzul Yusri, Sabri Idrus, Ahmad Fuad Osman, Abdul Ghani Ahmad dan ramai lagi. Karya-karya mereka ini telah menjadi pilihan kolektor-kolektor dalam dan luar negara dan nilai karya-karya mereka sekarang ini telah memcecah puluhan ribu malah sehingga ratusan ribu ringgit.

Majlis perasmian pameran ini disempurnakan oleh  Y.B Dato’ Haji Mohd Rawi bin Abdul Hamid – Pengerusi Jawatankuasa Agama, Kerja Raya dan Pelancongan & Warisan Kedah Darul Aman merangkap Penaung Angkatan Pelukis Kedah di Creative Space 3, Balai Seni Negara. Pameran ini dibuka kepada orang ramai dari 7 September 2017 sehingga 30 September 2017. Masuk adalah percuma.