Caravaggio

Pengenalan

Michelangelo Merisi dilahirkan di Milan pada 29 September 1571, pada hari San Michele Arcangelo. Jadi, namanya diberi sempena hari tersebut.

Beliau datang dari keluarga pedagang golongan borjuis, yang berasal dari Caravaggio, sebuah bandar kecil di sempadan wilayah Milan dan Bergamo.

Ayahnya, Fermo, seorang tukang batu yang mahir, memiliki beberapa bidang tanah yang kecil dan berhubungan baik dengan orang-orang penting setempat. Apabila beliau berpindah ke Rom untuk menjadi pelukis, Michelangelo Merisi secara umumnya digelar “Il Caravaggio” sempena nama tempat asal-usul keluarganya.

Selepas menjadi perantis selama empat tahun di bengkel Simone Peterzano di Milan dan barangkali selepas ke Venice, setelah menimba apa yang dapat ditimba daripada pelukis-pelukis agung Venice dan tradisi naturalisme Lombard abad ke 16 ketika itu (Lorenzo Lotto, Savoldo, Vincenzo Campi), dalam tahun 1592 pada usia dua puluh satu tahun, beliau berhijrah ke Rom.

Mulanya keadaan agak sukar baginya – kehadiran beliau di bengkel Cavaliere d’Arpino, pelukis terunggul di Rom ketika itu, memang tercatat dalam sejarah – yang mana selepas itu kehebatannya mula terserlah dan menawan golongan budayawan dan atasan yang berkuasa di Rom. Antara penaung, pelanggan dan pengumpul karya beliau ialah pemilik bank Ottavio Costa, Kardinal Francesco Maria del Monte dan Kardinal Scipione Borghese, Marquis Vincenzo Giustiniani, pewaris Kardinal Matteo Cointrel dan Monsignor Tiberio Cerasi, Bendahari Dewan Apostolik, serta keluarga bangsawan Mattei, Patrizi dan Colonna.

Dengan memapar hakikat yang terserlah dek cahaya, seni beliau mula membenam gaya olahan Mannerist yang dominan di Rom pada masa itu, dan benar-benar muncul sebagai satu revolusi yang dikagumi oleh golongan intelektual dan peseni.

Tentunya pendekatan avant-garde tidak menepati citarasa semua orang dan bakal membangkitkan kebingungan dan penentangan. Ini menjelaskan “penolakan” terhadap karya-karya terkenal yang menanda kerjaya Caravaggio: versi pertama San Matteo di Contarelli Chapel, Madonna dei Palafrenieri yang asalnya dibuat untuk Basilika San Pietro dan hari ini berada di Galleria Borghese, Morte della Vergine (Death of the Virgin) di Muzium Louvre yang asalnya dibuat untuk Santa Maria della Scala.

Banyak yang telah ditulis tentang sifat Caravaggio, sikap tidak masuk akal dan panas barannya, berteman dengan orang yang tidak baik, sering terlibat dalam duel (pertarungan), tindakan undang-undang dan masuk penjara. Berikut adalah bagaimana orang sezaman dengan beliau, ahli sejarah Flemish Karel van Marder menggambarkannya dalam sebuah tulisan terkenal dari tahun 1603: “Di Rom terdapat Michel Angelo da Caravaggio yang membuat benda-benda yang indah…dia bagai campuran gandum dan sekam, benar dia tidaklah berterusan tidak bekerja, tetapi selepas bekerja seminggu dua, dia menghilang sebulan dua, pedang berada di sisinya dan pelayan berada di belakangnya, dan dia pergi dari satu permainan ke satu permainan yang lain, sangat cenderung bertarung dan bergaduh, jadi hampir mustahil untuk selalu berjumpa dengannya”.

Akhirnya perangai Caravaggio dan kehidupannya yang tidak menentu membawa kepada kejatuhannya. Pada 28 Mei 1606, dalam perkelahian yang berlaku semasa permainan jeu de paume (bola dan gelanggang), Ranuccio Tomassoni, pemimpin penyokong pasukan lawan telah terbunuh. Caravaggio dijatuhkan hukuman mati dan terpaksa melarikan diri dari bandar Rom dan negeri itu. Mulanya beliau tinggal sebagai tetamu keluarga Colonna di kawasan mereka di Zagarolo, kemudian di Naples buat seketika dan akhirnya di Malta di mana beliau dianugerahkan darjah kesatria. Namun di Malta pun, beliau telah dibuang dari Order tersebut atas sebab-sebab yang tidak diketahui dan disumbat ke dalam penjara. Setelah keluar dari penjara, beliau mendapat perlindungan di Sicily pada tahun 1608 dan sekali lagi di Naples di mana beliau telah menghasilkan karya-karya terakhirnya yang hebat. Beliau meninggal dunia pada 18 Julai 1610 pada usia tiga puluh sembilan tahun di tepi pantai Porto Ercole semasa berhenti sekejap dalam perjalanan ke Rom dari Naples untuk mendapatkan pengampunan dan pembatalan larangan terhadapnya daripada Paus.

(Antonio Paolucci)