Bahagian ini memberikan perkhidmatan sokongan kepada perkhidmatan teras Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara supaya operasi LPSVN dapat dilaksanakan dengan sempurna. Bahagian ini diketuai oleh Pengarah Gred N48 dan dibahagikan kepada 5 Cawangan iaitu :

  • Cawangan Sumber Manusia
  • Cawangan Pentadbiran
  • Cawangan Kewangan
  • Cawangan Teknologi Maklumat
  • Cawangan Pembangunan

Bahagian Komunikasi Korporat bertanggungjawab dalam urusan semasa berkaitan operasi utama BSVN seperti meggadakan pameran, menjana program-program atau aktiviti-aktiviti serta mendapatkan sumbangan dan tajaan daripada badan korporat.

Bahagian ini mempunyai 3 cawangan iaitu :

  • Cawangan Sumbangan dan Tajaan
  • Cawangan Perhubungan Awam Dan Khidmat Pelanggan
  • Cawangan Promosi dan Pemasaran

Cawangan Pameran

Sebanyak 26 buah pameran telah disusun untuk perancangan Bahagian Penyelidikan & Pameran bagi tahun 2011. Walau bagaimanapun berikutan beberapa kesulitan dan permasalahan yang dihadapi, 5 buah pameran tidak dapat dilaksanakan mengikut jadual iaitu Pameran Solo Amron Omar : Pertarungan, Pameran Arca Awam, Pameran Proton Design, Pameran Getaran jiwa P.Ramlee dan Pameran Contemporary Finnish Graphics 2011. Jesteru, bagi memastikan peranan LPSVN masih berfungsi untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat, pameran yang digugurkan diisi dengan beberapa penambahan lain yang menarik dan unik dengan satu hasrat berkongsi dengan khalayak sambil memberi maklumat dan pendidikan yang ilmiah terhadap koleksi khazanah warisan seni negara. Pameran-pameran tersebut digantikan dengan Pameran Muka-muka (Faces), Pameran SAJ Dalam Kenangan dan Pameran Cahaya.

Selain dipamerkan di LPSVN, pameran premis galeri turut dipamerkan iaitu :

  •  Pameran KepadaMu Kekasih yang telah dijalankan di Muzium Negeri Terengganu bermula 13 Disember 2010 – 27 Januari 2011.
  •  Pameran ‘Recyceled’ : Guna + Semula + Jadi dijalankan di Putrajaya sempena Pesta Flora Putrajaya bermula pada 9 – 17 Julai 2012.
  •  Pameran Inovasi dijalankan di Jabatan Muzium Negara Kuala Lumpur bermula pada 22-24 November 2011.

Keseluruhannya pencapaian untuk tahun 2011 berjalan dengan lancar walaupun hanya 21 buah pameran yang berjaya didirikan mengikut perancangan jadual. Kejayaan LPSVN menerusi aktiviti teras iaitu pameran secara dasarnya mendapat kerjasama daripada semua pihak yang terlibat. Semua cadangan pengisian untuk penambahbaikan takwim adalah amat dialu-alukan terutama kepada yang terlibat didalam industri ini. Untuk itu, Bahagian Pameran akan sentiasa berusaha memperbaiki mutu pameran yang akan datang bagi memastikan pengisian setiap pameran memberi manfaat kepada semua pihak dan menaikkan martabat seni visual negara.

Bahagian ini bertanggungjawab ke atas perkara-perkara yang berkaitan dengan pengurusan Koleksi Seni Visual Negara seperti melaksanakan peranan sebagai urusetia bagi jawatankuasa perolehan karya, pendaftaran koleksi, peminjaman karya dan imej karya, menyelia proses penerimaan dan penghantaran karya koleksi persendirian, menguruskan insuran perlindungan koleksi, penyimpanan dan repositori, penyelidikan koleksi, laporan keadaan karya dan pemeriksaan fizikal karya, konservasi pencegahan dan rawatan serta khidmat nasihat dan rundingan.

CAWANGAN KOLEKSI

Cawangan ini bertanggungjawab sepenuhnya dalam menguruskan hal-ehwal Koleksi Seni Visual Negara. Aktiviti utama yang dikendalikan adalah seperti:

  • Menjadi urusetia kepada jawatankuasa kecil Lembaga LPSVN iaitu Jawatankuasa Perolehan Koleksi;
  • Menguruskan pendaftaran karya Koleksi Seni Visual Negara dan mengemaskini maklumat-maklumat berkaitan di dalam sistem pengurusan koleksi;
  • Menguruskan pemohon imej Koleksi Seni Visual Negara bagi tujuan penyediaan pameran, penyelidikan dan penulisan serta penerbitan;
  • Menguruskan peminjaman, penerimaan dan penghantaran karya;
  • Menguruskan insurans perlindungan karya; dan
  • Melakukan kerja-kerja susun-urus Koleksi Seni Visual Negara.

CAWANGAN KONSERVASI

Cawangan ini bertanggungjawab melaksanakan perancangan preservasi jangka panjang untuk Koleksi Seni Visual Negara. Aktiviti yang dijalankan termasuklah:

  • Prosidur pemeriksaan dan penyelidikan untuk mengenal pasti bahan, kaedah pembuatan dan punca kerosakan.
  • Membuat dokumentasi teknikal sebagai rekod keadaan objek sebelum, semasa dan selepas rawatan bersama perincian kaedah rawatan dan bahan yang digunakan.
  • Konservasi preventif untuk meminimakan jangkaan kerosakan pada masa hadapan dengan menstabilkan persekitaran dan objek dari ejen perosak.
  • Konservasi kuratif untuk menstabilkan dan menghentikan proses kerosakan pada objek. Rawatan ini termasuk kerja-kerja restorasi untuk mengembalikan sehampir mungkin keadaan objek kepada keadaan asal.

Cawangan Perkhidmatan Pendidikan

Cawangan Perkhidmatan Pendidikan bertanggungjawab memupuk kesedaran, minat dan menggalakan perkembangan seni di kalangan masyarakat melalui aktiviti berbentuk bengkel, bicara seni, kem seni, pertandingan melukis dan pameran interaktif secara konsisten bagi meningkatkan kefahaman terhadap seni visual.

Pada tahun 2011, pendekatan yang dilaksanakan adalah mempelawa khalayak umum ke Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara bagi berkongsi ilmu dalam aktiviti bicara seni bersama pelukis disamping aktiviti seni visual yang lain seperti bengkel, pertandingan dan laman seni.

Peranan Cawangan Perkhidmatan Pendidikan dalam mengadakan pelbagai aktiviti sokongan seni adalah merupakan pelengkap kepada Kurikulum Pendidikan Seni Visual sekolah. Memandangkan ianya begitu relevan dan mempunyai hubungkait antara seni dan amalan pendidikan seni secara menyeluruh, ruang skop aktivitii adalah disasarkan kepada para pelajar, guru-guru dan khalayak umum dari segenap lapisan masyarakat.

Fungsi

Berusaha mendidik, membimbing serta memberi pendedahan ke arah mempertingkatkan kefahaman mengenai seni tampak di samping mempromosikan galeri sebagai sumber pusat rujukan seni dan pembelajaran jangka panjang secara tidak formal.

Melaksanakan aktiviti sokongan seni seperti bengkel. kelas bimbingan seni, pertandingan seni lukis, pameran dan program bergerak, seminar, ceramah,dialog seni serta outreach program kepada pendidik, pelajar , masyarakat  umum dan peminat seni.

Bengkel Seni

Bengkel seni ini diadakan bagi memberi pendedahan dan perkongsian ilmu seni visual yang disasarkan kepada para pelajar, OKU,guru- guru,para professional dan orang awam. Skop pembelajaran setiap bengkel seni ini adalah menerapkan pendekatan yang mudah difahami dan dipraktikan pada bila – bila masa. Aktiviti ini telah mendapat sambutan dan maklumbalas yang amat menggalakkan.

Pertandingan

Pertandingan seni lukis yang dianjurkan oleh Balai Seni Visual Negara adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada setiap peserta mempamerkan bakat – bakat seni masing- masing. Setiap pertandingan diberi tema yang bersesuaian mengikut isu dan perkembangan seni semasa.

Seminar / Dialog / Forum / Bicara Seni / Apresiasi Seni

Seminar/Bicara seni di adakan sebagai anjakan sokongan kepada Pameran terkini Balai Seni Visual Negara bagi merungkai persoalan, permasalahan,senario dan perkembangan berkaitan isu – isu yang wujud. Ia adalah salah satu kaedah pendidikan mendekatkan khalayak dengan cabang-cabang seni visual.

Bahagian Penerbitan berfungsi dalam menghasilkan penerbitan-penerbitan yang berkualiti, berinformasi dan berinovasi berdasarkan pameran-pameran yang berlangsung di BSVN. Selain daripada itu, Bahagian Penerbitan juga menitikberatkan penulisan yang boleh memberi kesan dari segi maksud dan penyampaian kepada masyarakat Malaysia dan untuk merapatkan perhubungan di antara masyarakat luaran dengan BSVN melalui khidmat nasihat kepakaran kepada mereka yang memerlukan bagi menghasilkan penerbitan yang berkualiti.

Objektif

  • Menghasilkan penerbitan yang berkualiti, berinformasi dan berinovasi.
  • Memastikan penulisan dan cetakan terbitan setiap pameran berkualiti.
  • Memberi khidmat nasihat kepakaran kepada yang memerlukan.

Aktiviti Penerbitan

Bahagian ini telah menghasilkan pelbagai penerbitan berdasarkan pameran yang berlangsung setiap tahun. Di antara penerbitan yang dihasilkan ialah penerbitan catalog, penerbitan berstatus buku dan penerbitan berkala yang terdiri daripada 1 Majalah Senikini yang diterbitkan sebanyak 6 kali setahun. Lain-lain terbitan ialah kad jemputan, gambar poster, brosur, buku program, backdrop, bunting (kecil dan besar) dan borang pertandingan yang diterbitkan mengikut keperluan sesuatu pameran dan aktiviti.

Hasil penerbitan BSVN juga diedarkan kepada institusi-institusi pengajian tinggi di seluruh negara, sekolah-sekolah seni, badan-badan berkanun, pelawat-pelawat, orang ramai, Perpustakaan Negeri dan juga Perpustakaan Negara sebagai rujukan masyarakat.

Penglibatan penerbitan BSVN juga tidak terbatas pada sesuatu perkara di atas sahaja, malahan sebarang aktiviti yang melibatkan penjualan buku seperti Pesta buku Antarabangsa yang berlangsung setiap tahun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) juga menjadi tambatan kepada perkembangan setiap terbitan BSVN kepada masyarakat sekeliling.