Pameran Pelukis Kedah
Titik bermulanya perkembangan seni di Malaysia adalah hasil sumbangan perjumpaan, kumpulan dan persatuan-persatuan seni lukis yang pada asalnya untuk menghubungkan persahabatan, semangat ingin belajar, berpameran dan adakala atas matlamat perjuangan yang tertentu yang dipengaruhi dengan persekitaran dan keperluan pada masa itu. Perkumpulan dan persatuan ini kemudiannya berkembang dengan adanya sokongan penaung dan pemegang taruh (stake holder) yang ingin melihat ia menjadi sebahagian daripada pemangkin terhadap ketamadunan, baik secara sosial mahupun ekonomi. Kerjasama perkumpulan dan persatuan ini bersama pemegang taruh menghasilkan kemudahan dan sumber-sumber seperti bahan dan kelengkapan melukis malah hingga terwujudnya aset seperti bangunan pejabat, galeri-galeri dan muzium-muzium seni awam.
Kesungguhan dan kepercayaan pemegang taruh dan kerajaan negeri ini boleh dilihat dengan tertubuhnya Balai Seni di setiap negeri dalam Malaysia. Di negeri Kedah, tertubuhnya Balai Seni Negeri pada tahun 1983 adalah iltizam dari kumpulan pelukis dengan kepercayaan pemegang taruh serta penglibatan kerajaan negeri yang telah melihat kepentingan seni lukis sejak tertubuhnya Angkatan Pelukis Kedah (APK) pada tahun 1976.
Balai Seni Negara mengalu-alukan pameran ini sebagai menghargai sumbangan pelukis-pelukis dari negeri Kedah dan perjuangan APK yang telah masuk tahun ke-40 bersama-sama berkongsi visi dengan para pemegang taruh dan kerajaan negeri untuk membangunkan strategi yang bersesuaian kepada masyarakat dan pelukis ke arah tanggungjawab sosial, pertambahan pendapatan dan memapan ekonomi melalui industri seni.
APK mempunyai seramai 242 ahli yang terdiri dari pelbagai latar belakang. Pameran ini memilih 46 karya dari 46 pelukis dari keseluruhan 85 karya yang dihantar oleh 59 orang pelukis untuk disaring di Muzium Negeri Kedah. Pameran ini juga mempamerkan bersama-sama 12 karya pelukis kelahiran Kedah dari pelbagai jenis kategori seperti catan, arca dan seni video Himpunan Koleksi Negara dan koleksi persendirian.
Sepanjang 59 tahun Balai Seni Negara mengumpul, mempamer, mempromosi, memperkembangkan dan memelihara seni visual negara serta menjalankan peranan baharu ke arah mempergiatkan usaha pengukuhan ekonomi pelukis dan industri seni, ramai pelukis terkenal dan ternama telah muncul dari negeri Kedah ke peringkat negara dan antarabangsa. Seni lukis sebagai kelestarian kehidupan di Kedah tidak dapat dinafikan telah dimulakan oleh kumpulan ‘Pelukis Tiga Serangkai’ iaitu A.J. Rahman (1922-1995), A.B. Ibrahim (1925-1977) dan Saidin Yahya (1922-1988) pada tahun 1944 yang mempunyai studio atau galeri seni pertama di Pekan Rabu Alor Setar dengan nama ‘Warna Art Studio’.
Kemudian muncul pula pelukis-pelukis yang menyumbang kepada pembangunan seni melalui pendidikan dan wawasan pemikiran yang jauh kepada perkembangan seni negara dan “memetakan” Malaysia diperingkat antarabangsa, mereka ini telah memilih Kuala Lumpur dan luar negeri Kedah sebagai tapak perkembangan kerjaya mereka. Tokoh terkenal seperti Ismail Zain (1930-1990), Cheah Yew Saik (1939) telah mengasaskan institusi seni swasta, Ibrahim Hussein, Dato’ (1936-2009) yang menubuhkan muzium dan yayasan seni di Langkawi, Sharifah Zuriah Al Jefri (1938), Abdul Ghani Ahmad (1945), Sharifah Fatimah Syed Zubir Barakbah, Dato’ (1948), Amron Omar (1957), Shafie Hassan (1958) Zulkifli Yusoff (1962), Masnoor Ramli (1969), Aznan Omar (1973), Fauzul Yusri (1974) dan legasi ini diteruskan lagi oleh kemunculan pelukis muda seni kontemporari yang sedang meningkat naik seperti Mohd. Fazli Othman (1982), Khairul Zikri Abdullah (1982) dan Haafiz Shahimi (1986).
Ada dikalangan pelukis ini pula memilih untuk bertapak dan mempunyai studio di luar negara seperti Syed Azzudin Shahabudin (1933) di Hamburg (Jerman), Khoo Sui Hoe (1939) New York (USA), Eng Tay (1947) New York (USA), Siti Mariah Jackson (1953) Illinois (USA), Mutalib Mann (1950) London (UK) dan Ahmad Fuad Othman (1969) Bali (Indonesia).
Walau bagaimanapun pelukis-pelukis yang memilih untuk terus berkarya di negeri Kedah juga sangat prolifik malah sentiasa dinanti-nantikan kemunculan mereka di galeri-galeri di ibu negara seperti Anuar Rashid (1958), Fong Kim Sing (1949), Anassuwandi Ahmad (1967) dan Rohizad Shaari (1969). Begitu juga ahli APK lain yang sentiasa produktif dalam menghidupkan aktiviti seni mereka hingga ke daerah-daerah. Mereka giat berpameran di peringkat negeri dan negara malah menyertai pameran dan acara di luar negara. Pelukis-pelukis mapan APK ini seperti Hj. Judin Ahmad (1953), Osman Saidin (1949), Zahid Othman (1961), Siti Mariah Jackson (1953), Ramli Harun (1955), Lau Wai Fong (1944) (asal Teluk Intan, Perak bermastautin di Alor Setar, Kedah), Loo Hooi Ghee (1962), Loo Hoi Nam (1965), Linda Ong (1974), Jamaludin Abd. Rahman (1962), Salleh Dawam (1952) (asal Johor bermastautin di Langkawi) dan Ahamad Fauzi Hassan (1959) (asal Perak bermastautin di Alor Setar) sekadar menyebut beberapa nama sentiasa mendapat perhatian peminat seni dan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti seni.
Persatuan pelukis di negeri-negeri penting kerana bukan sahaja mereka terus melukis tetapi menjadi jambatan atau penghubung kepada masyarakat sama ada di muzium atau galeri negeri, pusat tumpuan awam, sekolah dan institusi pendidikan dengan aktiviti pameran dan pertandingan, malah di kampung-kampung atau tempat tumpuan pelancongan dengan aktiviti yang semakin mendapat sambutan ketika ini iaitu melukis di lapangan atau lebih popular dengan istilah Perancis “plein-air”.
Diharapkan pameran ini akan mendedahkan dan mempertemukan pelukis-pelukis APK dengan pelukis-pelukis terkenal kelahiran Kedah, para penggiat dan peminat seni serta membuka ruang baharu dalam perkembangan dan pembangunan seni lukis di tanah air.
Amerrudin Ahmad
Kurator