Siaran Media Pameran Alam dan Guru
KUALA LUMPUR, 2 November 2017– Balai Seni Negara hari ini mengadakan Pameran Alam dan Guru yang dirasmikan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Abd Ghafar bin Mahmud, Pengerusi Yayasan Sarana Pendidikan Malaysia pada 2 November 2017 (Khamis) jam 11.00 pagi di Creative Space, Bangunan Pentadbiran Balai Seni Negara.
“Alam Takambang Jadi Guru” adalah pahatan kata dalam masyarakat Minangkabau yang merujuk kepada falsafah kehidupan dan hubungannya dengan alam. Pepatah ini merupakan adagium yang mengajak masyarakat untuk sentiasa menuntut ilmu. Falsafah di sebalik kalimat ini membawa maksud ‘Alam’ yang ‘Takambang’ (terbentang luas) ialah alam semesta dengan segala isinya. Maksud ‘Jadi Guru’ pula ialah alam yang dijadikan sebagai ‘Guru’. ‘Guru’ ertinya adalah apa sahaja yang dapat memberikan pelajaran serta apa yang dapat dipelajari dari alam maya ini. Maksud ‘Guru’ dalam konteks ini merujuk kepada semua perkara yang baik, seperti manusia dan alam sekitar di setiap tempat dan keadaan yang melingkungi kehidupan manusia.
Falsafah di sebalik pepatah “Alam Takambang Jadi Guru” ini diangkat menjadi intipati kepada tema pameran “Alam & Guru” yang bakal melorongi kita ke arah menemukan keindahan falsafah budaya kosmologi alam Melayu khususnya bangsa Minangkabau dan kaitannya dengan keguruan alam raya.Pameran “Alam & Guru” yang julung kali diadakan ini adalah hasil karya dari kalangan guru-guru pendidikan seni visual dari peringkat sekolah rendah sehingga ke peringkat Institut Pendidikan Guru dari seluruh Malaysia. Tujuan pameran ini diadakan adalah sebagai salah satu aktiviti yang mampu merancakkan lagi kegiatan seni visual tanah air dan memartabatkan lagi karya guru-guru seni visual ke peringkat yang lebih tinggi.
Tema “Alam & Guru” yang mendasari pameran ini menyajikan satu wacana yang kental dengan nilai-nilai yang diinspirasikan dari alam sebagai satu bentuk komunikasi visual yang dipersembahkan secara dua dimensi.Pameran ini juga bertujuan menemukan ciri-ciri empirisme pengkarya tentang tabir alam dan sosok kehidupan yang penuh dengan simbolisme pengajaran yang wujud di alam yang terbentang luas ini.
Justeru itu, para pelawat boleh menghayati karya ini dengan lebih dekat dan pameran ini dibuka kepada orang ramai dari 21 Oktober 2017 sehingga 12 November 2017 di Creative Space, Bangunan Pentadbiran, Balai Seni Negara. Orang ramai dijemput hadir. Masuk adalah PERCUMA.