Siaran Media Pameran Amal Insani
KUALA LUMPUR– Balai Seni Negara akan mengadakan Pameran Amal Insani yang akan dirasmikan oleh YM Raja Dato’ Haji Idris Raja Kamarudin, Pengerusi, Kumpulan Perangsang Selangor Berhad pada 19hb April 2017 (Rabu) jam 3.00 petang di Creative Space @ Galeri Potret Negara di Balai Seni Negara.
Pameran ini diadakan bersempena dengan Hari Kesedaran Autisme Sedunia pada bulan April sebagai tanda sokongan pihak Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat agar lebih peka dan memberi sokongan terhadap anak-anak autistik. Pameran ini merupakan kerjasama di antara Inisiatif Sokongan Autisme Nouri (INSANI) dengan Pertubuhan Komuniti Artport Malaysia (Komuniti Artport).
Untuk makluman tuan/puan, pameran ini bertujuan untuk mengumpul dana bagi keperluan tajaan dan pendidikan anak-anak autism dari keluarga yang kurang berkemampuan. Sebanyak 47 buah karya dari 35 orang pengkarya dengan membawa kepelbagaian tema akan dipamerkan di ruangan Creative Space @Galeri Potret Negara bagi tujuan murni pengumpulan dana demi masa depan anak-anak autistik tersebut.
Penganjuran pameran ini di ruang Creative Space, turut memberi peluang kepada para kolektor seni untuk membeli dan beramal dalam masa yang sama menikmati keindahan karya-karya yang yang dipamerkan serta menunjukkan sokongan dan keprihatinan mereka. Justeru itu, para pelawat boleh menghayati karya ini dengan lebih dekat yang dibuka kepada orang ramai dari 2 April 2017 sehingga 25 April 2017 di Creative Space@Galeri Potret Negara di Balai Seni Negara. Orang ramai dijemput hadir. Masuk adalah percuma.