Siaran Media Pameran Terbuka PeRUPA (Bonda)

KUALA LUMPUR Persatuan Seni Rupa Malaysia “PERUPA” dengan kerjasama Balai Seni Negara “NAG” membawakan kepada khalayak Pameran Terbuka PERUPA bertajuk BONDA. Pameran Terbuka PERUPA merupakan acara tahunan bertujuan untuk merapatkan hubungan diantara ahlinya.  

“BONDA” sebuah perkataan klasik, meninggalkan rasa yang mendalam kepada manusia bermaksud ibu. Merujuk kepada “Ibu” sinonim dengan wanita, dimana pameran ini dirancang sempena sambutan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac 2018. Namun begitu, didalam pameran ini pengertiannya diluaskan dimana ianya bukan hanya merujuk peranan wanita sebagai ibu tetapi ianya juga berkaitan dengan kasih sayang sesama insan, patriotisme dan rasa hormat.

Pameran ini mengandungi 50 buah karya yang terdiri dari pelbagai medium, Seni Catan, Fotografi, Seni Digital, Instalasi dan Arca. Ianya dikurasikan Prof. Siti Zainon Ismail didada dinding Galeri Creative Space, Balai Seni Negara, dipamerkan mulai 9 Mac 2018 hingga 29 Mac 2018.

Pameran juga turut dimeriahkan dengan program-program sokongan sepanjang tempoh pameran seperti, Demostrasi Warna Air, Demostrasi Karya Bitumen, Bengkel Potret, Demostrasi Lakaran secara Langsung, Demostrasi Seni Doodle, Jualan Buku Indie, Jualan Buku Mewarna Dewasa dan Bicara Seni. Majlis Perasmian telah diadakan pada 15 Mac 2018 dan dirasmikan oleh YBrs. Encik Shamsuddin Abdul Wahab, Pengarah Urusan Veritas Interiors Sdn. Bhd..Orang ramai adalah dijemput hadir.

Siaran Media Pameran 3 Belas

KUALA LUMPUR – Balai Seni Negara dengan sukacitanya menganjurkan Pameran 3BELAS dari 16 Disember 2017 hingga 16 Januari 2018  bertempat di Creative Space 1, Balai Seni Negara. Pameran ini menggambarkan betapa pentingnya rasa disayangi serta diberi perhatian dan tumpuan dalam menghadapi perkembangan dunia yang sangat pantas, secara sedar atau tidak telah menghakis dan menghilangkan satu ‘rasa’ yang menjadikan seseorang manusia itu mulia dan beradab. Inilah yang dikongsikan bersama oleh tiga pelukis muda yang dipilih dalam pameran yang membawa tema 3BELAS. Walaupun begitu, tema 3BELAS ini mempunyai sisinya yang tersendiri daripada pameran mega KL Biennale 2017 kerana setiap dari mereka mempunyai cerita belas yang mampu membuatkan karya mereka untuk dijiwai.

Tiga orang pelukis muda yang dipilih itu adalah Shaliza Juanna, Elaine Wong dan Shin Pui San. Mereka digandingkan bersama untuk kali pertama bagi menunjukkan keunikan karya seni mereka. Keunikan setiap karya mereka sedikit sebanyak telah menyentuh aspek BELAS manusia tanpa disedari. Pameran 3BELAS bakal menghimpunkan hampir 40 buah karya termasuk karya bersiri. Karya-karya yang akan dipamerkan terdiri daripada pelbagai lukisan, karya-karya instalasi, serta video dokumentasi.

Soft launch bagi pameran ini diadakan pada 22 Disember 2017 pada jam 3 petang bertempat di Galeri Creative Space 1, Balai Seni Negara, Kuala Lumpur. Majlis perasmian pameran ini akan disempurnakan oleh YBrs. Puan Khaidirah Datuk Seri Abu Zahar, Exco Puteri Umno Malaysia. Pameran ini dibuka kepada orang ramai dari 16 Disember 2017 sehingga 16 Januari 2018. Masuk adalah percuma.

Siaran Media Pameran Alam dan Guru

KUALA LUMPUR, 2 November 2017– Balai Seni Negara hari ini mengadakan Pameran Alam dan Guru yang dirasmikan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Abd Ghafar bin Mahmud, Pengerusi Yayasan Sarana Pendidikan Malaysia pada 2 November 2017 (Khamis) jam 11.00 pagi di Creative Space, Bangunan Pentadbiran Balai Seni Negara.

“Alam Takambang Jadi Guru” adalah pahatan kata dalam masyarakat Minangkabau yang merujuk kepada falsafah kehidupan dan hubungannya dengan alam. Pepatah ini merupakan adagium yang mengajak masyarakat untuk sentiasa menuntut ilmu. Falsafah di sebalik kalimat ini membawa maksud ‘Alam’ yang ‘Takambang’ (terbentang luas) ialah alam semesta dengan segala isinya. Maksud ‘Jadi Guru’ pula ialah alam yang dijadikan sebagai ‘Guru’. ‘Guru’ ertinya adalah apa sahaja yang dapat memberikan pelajaran serta apa yang dapat dipelajari dari alam maya ini. Maksud ‘Guru’ dalam konteks ini merujuk kepada semua perkara yang baik, seperti manusia dan alam sekitar di setiap tempat dan keadaan yang melingkungi kehidupan manusia.

Falsafah di sebalik pepatah “Alam Takambang Jadi Guru” ini diangkat menjadi intipati kepada  tema pameran “Alam & Guru” yang bakal melorongi kita ke arah menemukan keindahan falsafah budaya kosmologi alam Melayu khususnya bangsa Minangkabau dan kaitannya dengan keguruan  alam raya.Pameran “Alam & Guru” yang julung kali diadakan ini adalah hasil karya dari kalangan guru-guru pendidikan seni visual dari peringkat sekolah rendah sehingga ke peringkat Institut Pendidikan Guru dari seluruh Malaysia. Tujuan pameran ini diadakan adalah sebagai salah satu aktiviti yang mampu merancakkan lagi kegiatan seni visual tanah air dan memartabatkan lagi karya guru-guru seni visual ke peringkat yang lebih tinggi.

Tema “Alam & Guru” yang mendasari pameran ini menyajikan satu wacana yang kental dengan nilai-nilai yang diinspirasikan dari alam sebagai satu bentuk komunikasi visual yang dipersembahkan secara dua dimensi.Pameran ini juga bertujuan menemukan ciri-ciri empirisme pengkarya tentang tabir alam dan sosok kehidupan yang penuh dengan simbolisme pengajaran yang wujud di alam yang terbentang luas ini.

Justeru itu, para pelawat boleh menghayati karya ini dengan lebih dekat dan pameran ini dibuka kepada orang ramai dari 21 Oktober 2017 sehingga 12 November 2017 di Creative Space, Bangunan Pentadbiran, Balai Seni Negara. Orang ramai dijemput hadir. Masuk adalah PERCUMA.

Siaran Media Sculpturing is Meditative By Chin Wan Kee

KUALA LUMPUR – National Art Gallery (NAG), brings you Sculpturing is Meditative By Chin Wan Kee: Select Works 1997-2017’ exhibition, displaying 50 sculptures, a special survey show by one of the country’s handful of veteran sculptors specializing in bronze casting. Chin Wan Kee who is currently attached to a prestigious private institution as an art educator. As a sculptor, one of his prominent sculpture entitled Unity and Harmony, proudly graces an area of National Art Gallery garden since year 2000.

According to the sculptor “Sculpturing is meditative. It seizes me and gets me in a position to experience the truth and the freedom in life. Sculpturing is also a booster that continues to arouse and rush myself into exploring the roots of my own identity. Ultimately, the conceivable direction leads me to a deeper understanding of the fundamental nature of human kind and their intrinsic values”.

The exhibition is being curated by Tan Sei Hon, will features selected works from a few series produced over the course of 2 decades as well as new works. It offers a unique look at the human form reflecting the artist’s thoughts on life and humanity and the direction it has evolved over the years. Besides marking a personal milestone for the 55 year old artist, the exhibition aims to pay a tribute to fellow sculptors, other art practitioner and patrons for their support while introducing the artist and this art form to a whole new generation of art lovers and practitioners.

The inauguration will be held on 12th October 2017 at 3.00pm and will be officiated by YBhg. Tan Sri Kamarul Ariffin, Former Chairman of National Art Gallery at  Creative Space 3, National Art Gallery. The exhibition on view from 7th October 2017 until 30th October 2017 at Creative Space 3, National Art Gallery. Admission is free.

Siaran Media Pameran Pelukis Kedah

KUALA LUMPUR – Balai Seni Negara dengan sukacitanya menganjurkan Pameran Pelukis Kedah Sempena Ulangtahun Ke-40 Tahun Angkatan Pelukis Kedah dari 7 September 2017 sehingga 30 September 2017 bertempat di Creative Space 3 , Balai Seni Negara. Pameran ini memberikan gambaran yang menarik dengan memilih 46 karya dari 46 pelukis dari keseluruhan 85 karya yang dihantar oleh 59 orang pelukis untuk disaring di Muzium Negeri Kedah. Pameran ini juga mempamerkan 12 karya pelukis kelahiran Kedah dari pelbagai jenis kategori seperti catan, arca dan seni video dari Himpunan Koleksi Negara dan koleksi persendirian.

Pameran ini merupakan sebuah penghargaan atas sumbangan pelukis-pelukis dari negeri Kedah dan perjuangan APK yang telah masuk tahun ke-40 dalam berkongsi visi dengan para pemegang taruh dan kerajaan negeri untuk membangunkan strategi yang bersesuaian kepada masyarakat dan pelukis ke arah tanggungjawab sosial, pertambahan pendapatan dan memapan ekonomi melalui industri seni. Melaluinya nama Malaysia juga telah diharumkan oleh beberapa pelukis anak-anak negeri Kedah seperti Dato’ Ibrahim Hussein, Dato’ Sharifah Fatimah Syed Zubir, Amron Omar, Anuar Rashid, Fauzul Yusri, Sabri Idrus, Ahmad Fuad Osman, Abdul Ghani Ahmad dan ramai lagi. Karya-karya mereka ini telah menjadi pilihan kolektor-kolektor dalam dan luar negara dan nilai karya-karya mereka sekarang ini telah memcecah puluhan ribu malah sehingga ratusan ribu ringgit.

Majlis perasmian pameran ini disempurnakan oleh  Y.B Dato’ Haji Mohd Rawi bin Abdul Hamid – Pengerusi Jawatankuasa Agama, Kerja Raya dan Pelancongan & Warisan Kedah Darul Aman merangkap Penaung Angkatan Pelukis Kedah di Creative Space 3, Balai Seni Negara. Pameran ini dibuka kepada orang ramai dari 7 September 2017 sehingga 30 September 2017. Masuk adalah percuma.

 

Siaran Media Pameran “Malaysian Caricaturist”

KUALA LUMPUR – Balai Seni Negara dengan sukacitanya menganjurkan Pameran Malaysian Caricaturist dari 9 September 2017 sehingga 15 Oktober 2017 bertempat di Creative Space 1 , Balai Seni Negara. Pameran ini memberikan gambaran yang menarik dalam menelusuri perkembangan perintis seni kartun atau karikatur tanah air dengan menonjolkan pelbagai gaya dan  elemen jenaka nukilan hasil tangan berbakat lapan  generasi kartunis. Pameran yang menggabungkan kartunis profesional negara seperti Imuda, Don, Aie, Katon Aqhari, Yaz Malee, Oly, Maro dan Oren. Melalui pameran ini, terdapat 100 buah karya kartun merangkumi pelbagai tema yang memberi penegasan kepada figura susuk tubuh individu-individu dan wajah-wajah berprofil tinggi di Malaysia antaranya pemimpin-pemimpin negara, seniman dan seniwati, selebriti komedi, pelukis-pelukis tersohor tempatan, atlet negara, artis antarabangsa, tokoh organisasi serta usahawan berjaya.

Dalam pameran karikatur ini, pengkarya mempamerkan karya-karya curahan rasa penghargaan dan kekaguman kepada tokoh-tokoh penting Negara dari pelbagai bidang namun terselit jua persembahan karikatur yang memberi respons kepada pelaku-pelaku isu-isu sensasi negara serta gambaran peristiwa adaptasi daripada realiti. Watak-watak karikatur  yang dapat dilihat dalam pameran ini antaranya ialah Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah II (Bapa Malaysia / Bapa Kemerdekaan Malaysia), Latiff Mohidin (pelukis tersohor negara), Zizan Razak (pelawak / pelakon), YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohamed Najib Ahmad Dawa (Ketua Pengarah Balai Seni Negara / pelukis), Jutawan kosmetik Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman (Dato’ Vida) dan banyak lagi.

Majlis perasmian pameran ini telah diadakan pada 12 September 2017 (Selasa) jam 11.00 pagi yang dirasmikan oleh YBhg. Prof.Dr.Muliyadi Mahamood, Ahli Lembaga Balai Seni Negara di Creative Space 1, Lobi Pentadbiran Balai Seni Negara. Pameran ini dibuka kepada orang ramai dari 9 September 2017 sehingga 15 Oktober 2017. Masuk adalah percuma.

Siaran Media Pameran Fotografi ‘Foto Cetak’

KUALA LUMPUR – Balai Seni Negara dengan sukacitanya mempamerkan Pameran Fotografi ‘Foto Cetak’ dari 6 Ogos sehingga 26 Ogos 2017 bertempat di Creative Space 1 , Balai Seni Negara. Pameran ini yang memaparkan sebanyak 30 buah karya dari 3 orang pengkarya iaitu Afendi Md Shas, Fadhil Kamarudin, dan Shahril Nawawi . Pameran ini bertujuan memaparkan pelbagai kaedah fotografi (hybrid) yang sedang diamalkan dan cara lama yang masih mendapat perhatian umum. Pengaruh seni digital terhadap seni fotografi juga telah mencorak arena seni fotografi menjadi lebih kreatif dan unik. Melalui pameran ini juga, jurufoto akan berkongsi pengalaman mereka dalam proses penghasilan karya bersama pengunjung.

Perubahan arus teknologi membuatkan semakin ramai pengamal fotografi tidak mencetak foto dan hanya memaparkan hasil fotografi di media sosial seperti Facebook, Instagram dan lain-lain dalam paparan digital. Rentetan dengan itu, pameran ini memperlihatkan beberapa teknik percetakan dengan menggunakan beberapa teknik dan medium didalam pelbagai stail/genre fotografi. Antara medium yang digunakan adalah cetakan foto digital atas kertas foto, cetakan atas acrylic board, cetakan 3 dimensi, cetakan atas kepingan metal, cetakan atas kertas lukisan, teknik lenticular, teknik proses alternatif dan beberapa lagi teknik dan  jenis cetakan. Pameran ini secara tidak langsung mengangkat nilai estetika dalam bidang fotografi di Malaysia serta mengajak khalayak untuk menghayati seni fotografi secara lebih mendalam dan terperinci.

Majlis perasmian pameran ini diadakan pada 11 Ogos 2017 jam 3.30 petang yang dirasmikan oleh Encik Md Yusoff Othman,Mantan Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) bertempat di Creative Space 1, Lobi Pentadbiran Balai Seni Negara. Pameran ini dibuka kepada orang ramai dari 6 Ogos 2017 sehingga 26 Ogos 2017. Masuk adalah percuma.