KUL Art Airport merupakan sebuah insiatif Balai Seni Negara dengan kerjasama Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) dalam merealisasikan karya seni awam di 4 buah Lapangan Terbang Antarabangsa kendalian MAHB iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Selain bertujuan menambah baik faktor keselesaan dan bersifat mesra pelanggan di ruang lapangan terbang kepada pelancong domestik dan antarabangsa, projek ini juga memberi peluang kepada seniman tempatan untuk menerokai dan memperkenalkan identiti seni dan budaya di platform antarabangsa. Pendekatan ini juga sejajar dengan konsep Seni di Lokasi yang diperkenalkan oleh Balai Seni Negara malah dilihat dapat menjadi salah satu projek seni karya awam yang mengangkat seniman tempatan dalam mempromosi karya seni di pintu masuk negara.

Pengkarya                 : OtherHalf (Sumay Cheah b.1986 and Ho Lay Hoon b.1986)

Tajuk Karya              : OH!Budaya

Bahan                        : Pemasangan Seni Interaktif, papan lapis dan Plexiglas

Saiz                            : 5220mm (Lebar) x 3900mm (Kedalaman) x 2400mm (Tinggi)

Tahun                        : 2022

OH! Budaya mengalukan-alukan pengunjung ke portal budaya yang terdiri daripada panel-panel yang saling berkait dan membentuk sebuah laluan berselirat. Setiap panel mempunyai keunikan yang tersendiri dan apabila disatukan ianya berdiri dengan cantiknya bagi membentuk corak yang penuh. Penyilangan panel ini mengingatkan kita bahawa kita semua mempunyai keunikan dengan cara yang tersendiri, namun berkongsi identiti yang sama iaitu  sebagai rakyat Malaysia.

Ruang ini  untuk diterokai dan menghayati kepelbagaian warna, masyarakat dan budaya tanpa sempadan. Menggunakan corak budaya ringkas yang diperbuat daripada papan lapis dan plexiglas yang diguna semula, ini merupakan karya yang mesra keluarga dan inklusif untuk dinikmati semua. Anda boleh mengintai melalui salah satu tingkap atau main sorok-sorok di antara panel yang saling berkait ini dimana dapat menjadi tempat untuk semua orang untuk berhubung, berinteraksi dan bermain.