Siaran Media Pameran Barehands Vol. 1
KUALA LUMPUR– Balai Seni Negara hari ini mengadakan Pameran Barehands Vol.1 yang dirasmikan oleh YBrs Dr. Choong Kam Kow, Pengerusi Federation of Asian Artist Malaysia Committee pada 16hb Mei 2017 (Selasa) jam 3.00 petang di Lobi Bangunan Galeri, Balai Seni Negara.
Untuk makluman projek residensi ini merupakan satu kerjasama antara pelukis dari enam buah negara iaitu Indonesia, Jepun, Jordan, Taiwan, Filipina dan Malaysia. Projek ini telah diadakan dari tahun 2010, 2014, dan 2015. Setelah melalui lima residensi di negara yang terlibat, kesemua pelukis residensi kini berada di Kuala Lumpur. Seramai 18 orang pelukis dari luar negara telah bekerja di enam buah studio tamu disekitar Kuala Lumpur berganding bersama 10 orang pelukis negara dalam memastikan usaha projek residensi ini menjadi nyata.
Karya- karya yang dipamerkan pula adalah hasil dari pengalaman, pengamatan dan perkongsian sepanjang kehadiran mereka di Malaysia. Dengan latar belakang yang berlainan pelukis-pelukis ini mempamerkan disiplin dan kecenderungan yang berbeza dalam pengkaryaan mereka. Sebahagian besar dari mereka menggunakan bahan tempatan dan kepakaran serta kemahiran yang mereka bawa bersama.
Justeru itu, para pelawat boleh menghayati karya ini dengan lebih dekat yang dibuka kepada orang ramai dari 15 Mei 2017 sehingga 16 Julai 2017 di Galeri 2A, Balai Seni Negara. Orang ramai dijemput hadir. Masuk adalah percuma.