Pameran Pelukis Kedah

Titik bermulanya perkembangan seni di Malaysia adalah hasil sumbangan perjumpaan, kumpulan dan persatuan-persatuan seni lukis yang pada asalnya untuk menghubungkan persahabatan, semangat ingin belajar, berpameran dan adakala atas matlamat perjuangan yang tertentu yang dipengaruhi dengan persekitaran dan keperluan pada masa itu. Perkumpulan dan persatuan ini kemudiannya berkembang dengan adanya sokongan penaung dan pemegang taruh (stake holder) yang ingin melihat ia menjadi sebahagian daripada pemangkin terhadap ketamadunan, baik secara sosial mahupun ekonomi. Kerjasama perkumpulan dan persatuan ini bersama pemegang taruh menghasilkan kemudahan dan sumber-sumber seperti bahan dan kelengkapan melukis malah hingga terwujudnya aset seperti bangunan pejabat, galeri-galeri dan muzium-muzium seni awam.

Kesungguhan dan kepercayaan pemegang taruh dan kerajaan negeri ini boleh dilihat dengan tertubuhnya Balai Seni di setiap negeri dalam Malaysia. Di negeri Kedah, tertubuhnya Balai Seni Negeri pada tahun 1983 adalah iltizam dari kumpulan pelukis dengan kepercayaan pemegang taruh serta penglibatan kerajaan negeri yang telah melihat kepentingan seni lukis sejak tertubuhnya Angkatan Pelukis Kedah (APK) pada tahun 1976.

Balai Seni Negara mengalu-alukan pameran ini sebagai menghargai sumbangan pelukis-pelukis dari negeri Kedah dan perjuangan APK yang telah masuk tahun ke-40 bersama-sama berkongsi visi dengan para pemegang taruh dan kerajaan negeri untuk membangunkan strategi yang bersesuaian kepada masyarakat dan pelukis ke arah tanggungjawab sosial, pertambahan pendapatan dan memapan ekonomi melalui industri seni.

APK mempunyai seramai 242 ahli yang terdiri dari pelbagai latar belakang. Pameran ini memilih 46 karya dari 46 pelukis dari keseluruhan 85 karya yang dihantar oleh 59 orang pelukis untuk disaring di Muzium Negeri Kedah. Pameran ini juga mempamerkan bersama-sama 12 karya pelukis kelahiran Kedah dari pelbagai jenis kategori seperti catan, arca dan seni video Himpunan Koleksi Negara dan koleksi persendirian.

Sepanjang 59 tahun Balai Seni Negara mengumpul, mempamer, mempromosi, memperkembangkan dan memelihara seni visual negara serta menjalankan peranan baharu ke arah mempergiatkan usaha pengukuhan ekonomi pelukis dan industri seni, ramai pelukis terkenal dan ternama telah muncul dari negeri Kedah ke peringkat negara dan antarabangsa. Seni lukis sebagai kelestarian kehidupan di Kedah tidak dapat dinafikan telah dimulakan oleh kumpulan ‘Pelukis Tiga Serangkai’ iaitu A.J. Rahman (1922-1995), A.B. Ibrahim (1925-1977) dan Saidin Yahya (1922-1988) pada tahun 1944 yang mempunyai studio atau galeri seni pertama di Pekan Rabu Alor Setar dengan nama ‘Warna Art Studio’.

Kemudian muncul pula pelukis-pelukis yang menyumbang kepada pembangunan seni melalui pendidikan dan wawasan pemikiran yang jauh kepada perkembangan seni negara dan “memetakan” Malaysia diperingkat antarabangsa, mereka ini telah memilih Kuala Lumpur dan luar negeri Kedah sebagai tapak perkembangan kerjaya mereka. Tokoh terkenal seperti Ismail Zain (1930-1990), Cheah Yew Saik (1939) telah mengasaskan institusi seni swasta, Ibrahim Hussein, Dato’ (1936-2009) yang menubuhkan muzium dan yayasan seni di Langkawi, Sharifah Zuriah Al Jefri (1938), Abdul Ghani Ahmad (1945), Sharifah Fatimah Syed Zubir Barakbah, Dato’ (1948), Amron Omar (1957), Shafie Hassan (1958) Zulkifli Yusoff (1962), Masnoor Ramli (1969), Aznan Omar (1973), Fauzul Yusri (1974) dan legasi ini diteruskan lagi oleh kemunculan pelukis muda seni kontemporari yang sedang meningkat naik seperti Mohd. Fazli Othman (1982), Khairul Zikri Abdullah (1982) dan Haafiz Shahimi (1986).

Ada dikalangan pelukis ini pula memilih untuk bertapak dan mempunyai studio di luar negara seperti Syed Azzudin Shahabudin (1933) di Hamburg (Jerman), Khoo Sui Hoe (1939) New York (USA), Eng Tay (1947) New York (USA), Siti Mariah Jackson (1953) Illinois (USA), Mutalib Mann (1950) London (UK) dan Ahmad Fuad Othman (1969) Bali (Indonesia).

Walau bagaimanapun pelukis-pelukis yang memilih untuk terus berkarya di negeri Kedah juga sangat prolifik malah sentiasa dinanti-nantikan kemunculan mereka di galeri-galeri di ibu negara seperti Anuar Rashid (1958), Fong Kim Sing (1949), Anassuwandi Ahmad (1967) dan Rohizad Shaari (1969). Begitu juga ahli APK lain yang sentiasa produktif dalam menghidupkan aktiviti seni mereka hingga ke daerah-daerah. Mereka giat berpameran di peringkat negeri dan negara malah menyertai pameran dan acara di luar negara. Pelukis-pelukis mapan APK ini seperti Hj. Judin Ahmad (1953), Osman Saidin (1949), Zahid Othman (1961), Siti Mariah Jackson (1953), Ramli Harun (1955), Lau Wai Fong (1944) (asal Teluk Intan, Perak bermastautin di Alor Setar, Kedah), Loo Hooi Ghee (1962), Loo Hoi Nam (1965), Linda Ong (1974), Jamaludin Abd. Rahman (1962), Salleh Dawam (1952) (asal Johor bermastautin di Langkawi) dan Ahamad Fauzi Hassan (1959) (asal Perak bermastautin di Alor Setar) sekadar menyebut beberapa nama sentiasa mendapat perhatian peminat seni dan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti seni.

Persatuan pelukis di negeri-negeri penting kerana bukan sahaja mereka terus melukis tetapi menjadi jambatan atau penghubung kepada masyarakat sama ada di muzium atau galeri negeri, pusat tumpuan awam, sekolah dan institusi pendidikan dengan aktiviti pameran dan pertandingan, malah di kampung-kampung atau tempat tumpuan pelancongan dengan aktiviti yang semakin mendapat sambutan ketika ini iaitu melukis di lapangan atau lebih popular dengan istilah Perancis “plein-air”.

Diharapkan pameran ini akan mendedahkan dan mempertemukan pelukis-pelukis APK dengan pelukis-pelukis terkenal kelahiran Kedah, para penggiat dan peminat seni serta membuka ruang baharu dalam perkembangan dan pembangunan seni lukis di tanah air.

Amerrudin Ahmad
Kurator

Siaran Media Pameran Fotografi ‘Foto Cetak’

KUALA LUMPUR – Balai Seni Negara dengan sukacitanya mempamerkan Pameran Fotografi ‘Foto Cetak’ dari 6 Ogos sehingga 26 Ogos 2017 bertempat di Creative Space 1 , Balai Seni Negara. Pameran ini yang memaparkan sebanyak 30 buah karya dari 3 orang pengkarya iaitu Afendi Md Shas, Fadhil Kamarudin, dan Shahril Nawawi . Pameran ini bertujuan memaparkan pelbagai kaedah fotografi (hybrid) yang sedang diamalkan dan cara lama yang masih mendapat perhatian umum. Pengaruh seni digital terhadap seni fotografi juga telah mencorak arena seni fotografi menjadi lebih kreatif dan unik. Melalui pameran ini juga, jurufoto akan berkongsi pengalaman mereka dalam proses penghasilan karya bersama pengunjung.

Perubahan arus teknologi membuatkan semakin ramai pengamal fotografi tidak mencetak foto dan hanya memaparkan hasil fotografi di media sosial seperti Facebook, Instagram dan lain-lain dalam paparan digital. Rentetan dengan itu, pameran ini memperlihatkan beberapa teknik percetakan dengan menggunakan beberapa teknik dan medium didalam pelbagai stail/genre fotografi. Antara medium yang digunakan adalah cetakan foto digital atas kertas foto, cetakan atas acrylic board, cetakan 3 dimensi, cetakan atas kepingan metal, cetakan atas kertas lukisan, teknik lenticular, teknik proses alternatif dan beberapa lagi teknik dan  jenis cetakan. Pameran ini secara tidak langsung mengangkat nilai estetika dalam bidang fotografi di Malaysia serta mengajak khalayak untuk menghayati seni fotografi secara lebih mendalam dan terperinci.

Majlis perasmian pameran ini diadakan pada 11 Ogos 2017 jam 3.30 petang yang dirasmikan oleh Encik Md Yusoff Othman,Mantan Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) bertempat di Creative Space 1, Lobi Pentadbiran Balai Seni Negara. Pameran ini dibuka kepada orang ramai dari 6 Ogos 2017 sehingga 26 Ogos 2017. Masuk adalah percuma.

Siaran Media Merdeka : Pameran Unity & Diversity

KUALA LUMPUR – National Art Gallery (NAG), brings you Merdeka: Unity & Diversity Exhibition, displaying 60 artworks by 22 local artists, centered on the accumulation of Malaysians ‘experiences and nostalgic of the past as well as artists’ new findings of the present ranging from representational, expressionism, folk art with figurative as a subject matter presented in the show. The exhibition is also to express the meaning of Merdeka through inspired artworks by artists from different age, gender, race and backgrounds. The exhibition will also been showcased in Johor Bahru where it will be exhibited at Warisan Johor Foundation, followed by exhibition at KOMTAR, Penang and SACC Mall Shah Alam in order to share with everyone the spirit of independence, unity and diversity.

The exhibition is a collaboration between NAG together with Infinity Logistics & Transport Sdn Bhd – Asian asset based Logistics Company and this exhibition is part of their Corporate Social Responsibility Project to help local artists concurrently celebrate the nation by promoting unity and diversity via art.

The inauguration will be held on 8th August 2017 at 2.30pm and will be officiated by

YB Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Minister of Tourism and Culture Malaysia at Creative Space 3, National Art Gallery.

The exhibition on view from 5th August 2017 until 31st August 2017 at Creative Space 3, National Art Gallery. Admission is free.

Siaran Media Young Art Entrepreneurs (YAE!) di Balai Seni Negara

KUALA LUMPUR, 25 Julai 2017– Young Art Entrepreneurs (YAE!) merupakan sebuah program baru anjuran Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) yang diperkenalkan bagi menyediakan platform kepada pelukis muda untuk memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk menjadikan mereka usahawan seni yang berdaya saing di dalam industri seni kreatif Negara.

Antara objektif utama program YAE! adalah untuk melatih pelukis muda  dalam bidang seni dengan kemahiran keusahawanan, memberi pendedahan dan tunjuk ajar secara hands-on oleh Konsultan Keusahawanan, Pelukis Jemputan, dan Kurator Jemputan. Terdapat juga penglibatan dari Kolektor Seni dan Pemilik Galeri, yang akan memberi pendedahan kepada mereka mengenai industri seni bagi meningkatkan kreativiti peserta dalam menghasilkan karya yang menarik yang mampu memenuhi kehendak pasaran dan membina perniagaan seni secara tersusun.

Melalui program ini, seramai 7 orang pelukis muda telah dipilih iaitu Jessica Kuok Beng Lin, Foong Yeng Yeng, Abdul Mohsin Aminuddin, The Nadirah Hamdan, Ahmad Fikril Haniff Shahruddin dan Muhammad Farhan Shah Mohd Zaini, yang akan ditempatkan di Art Depot atau kontena yang berada di Balai Seni Negara sepanjang program ini berlangsung dengan menghasilkan karya catan, cetakan dan arca. Program keusahawanan ini mengguna pakai konsep art incubator dan mengambil peluang economy of scale melalui amalan perkongsian sumber seperti kemudahan, teknologi, peralatan, dan kejurulatihan.

Kemuncak kepada program ini adalah sebuah pameran seni yang akan diadakan pada bulan Januari 2018 di Creative Space di Balai Seni Negara. Justeru itu,para pelawat boleh berkunjung ke Art Depot Balai Seni Negara untuk melihat dengan lebih dekat lagi proses penghasilan karya oleh para pelukis muda ini melalui YAE! dari jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang. Orang ramai dijemput hadir. Masuk adalah percuma.

Siaran Media Seni Negaraku

KUALA LUMPUR, 16 Jun 2017– Balai Seni Negara menganjurkan Seni Negaraku yang  merupakan sebuah program di bawah Inisiatif Negaraku yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri di Putrajaya yang bertunjangkan semangat cintakan Malaysia sempena Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-60 tahun.

Melalui Seni Negaraku ini terdapat dua buah pameran di Balai Seni Negara iaitu Pameran Seni Negaraku dan Reka Negaraku termasuk Pertandingan Seni Negaraku yang dimeterai melalui Memorandum persefahaman yang disaksikan oleh Perdana Menteri pada 19 April 2017. Pameran Seni Negaraku menghimpunkan sejumlah 88 karya dari 72 pelukis dari koleksi awam dan persendirian. Karya-karya ini mempunyai signifikan yang tersendiri kepada Negara sama ada dalam susurmasa sejarah sosial Negara mahupun titik-titik penting dalam pensejarahan seni lukis moden Malaysia dengan menggambarkan naratif, mengutarakan tentang makna dan gambaran visual melalui genre-genre romantik, idealism modenis dan isu-isu terkini seni kontemporari. Antara karya pelukis yang dipamerkan adalah seperti Abdul Latiff Mohidin, Syed Ahmad Jamal, Ibrahim Hussein, Joseph Tan, Fatimah Chik, Anthony Lau, Georgette Chen, Redza Piyadasa, Yeoh Jin Leng, Abdullah Ariff, Chuah Thean Teng, Yong Mun Seng, Dzulkifli Buyong, Ismail Zain, serta Mohd Hoessein Enas.

Manakala Pameran Reka Negaraku mempamerkan 36 artifak seni reka serta 53 cetakan mengenai barangan kegunaan harian seperti kotak mancis dan label ubat, memorabilia budaya popular seperti poster filem dan majalah, juga terbitan awam seperti poster propaganda dan pelancongan serta elemen-elemen penting dari zaman-zaman yang berlainan. Pameran ini juga mencerminkan bagaimana masyarakat Malaysia berubah mengikut peredaran masa serta kesan pengaruh yang membentuk identiti masyarakat.

Majlis perasmian Seni Negaraku disempurnakan oleh YAB Dato’Sri Mohd. Najib bin  Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia di Balai Seni Negara yang turut menyampaikan hadiah ‘Pertandingan Seni Negaraku’ kepada 9 orang pemenang utama yang melibatkan sebanyak 10,176 buah sekolah dan seramai 5 juta pelajar seluruh Negara, dimana karya nukilan oleh para pelajar yang terpilih akan dipamerkan di Balai Seni Negara.

Justeru itu,para pelawat boleh menghayati karya- karya yang dipamerkan yang dibuka kepada orang ramai dari Jun 2017 sehingga Oktober 2017 di Galeri 1A dan Galeri Reka. Orang ramai dijemput hadir. Masuk adalah percuma.

Siaran Media Pemeran Di Mana Young

KUALA LUMPUR– Balai Seni Negara mengadakan Pameran 101 Dimana YOUng yang dirasmikan oleh YB Datuk Mas Ermieyati binti SamsudinTimbalan Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia pada 25hb Mei 2017 (Khamis) jam 3.00 petang di Lobi Bangunan Galeri, Balai Seni Negara.

Pameran ini melibatkan 41 buah karya dari koleksi Himpunan Tetap Negara, 20 pengkarya dari Koleksi Himpuan Tetap Negara yang menghasilkan karya baru, 40 orang pengkarya yang dijemput dan 11 buah penyertaan dari kategori open call serta 5 orang karya pelajar yang terpilih.Setakat ini hanya 10% dari Koleksi Himpuann Tetap Negara merupakan karya pelukis wanita.

Untuk makluman pameran ini merupakan satu kajian koleksi seni tentang peranan wanita dalam bidang seni visual yang telah bermula sejak era 40-an lagi. Buat pertama kalinya, Balai Seni Negara berjaya menghimpunkan 101 orang pengkarya wanita seluruh negara di dalam satu pameran serta membuktikan dan mengubah keseluruhan perspektif dan kedudukan wanita dalam bidang seni.

Justeru itu, para pelawat boleh menghayati karya ini dengan lebih dekat yang dibuka kepada orang ramai dari 25 Mei 2017 sehingga 31 Julai 2017 di Galeri 3a & 3B, Balai Seni Negara. Orang ramai dijemput hadir. Masuk adalah percuma.

Siaran Media Pameran Bumi Larangan: Zulkifli Dahlan

KUALA LUMPUR– Balai Seni Negara hari ini mengadakan Pameran Bumi Larangan: Zulkifli Dahlan yang dirasmikan oleh YBhg. Datuk Mohammad Khalid (Datuk Lat), Kartunis pada 17hb Mei 2017 (Rabu) jam 3.00 petang di Lobi Bangunan Galeri, Balai Seni Negara.

Zulkifli Dahlan bukanlah nama asing dalam landskap seni tempatan dan namanya tercatat dalam pensejarahan seni moden Malaysia. Beliau juga merupakan pelukis pertama yang memenangi pertandingan Bakat Muda Sezaman yang dianjurkan oleh LPSVN pada tahun 1974. Matlamat utama penganjuran pameran ini adalah untuk mengetengahkan karya-karya seni Zulkifli Dahlan dan juga mendedahkan beberapa dimensi penting dalam perkembangan seni untuk tatapan umum kebanyakannya lakaran dan kajian, merangkumi pemikiran dan idea seorang artis dianggap berwawasan dan maju pada zamannya.

Untuk makluman pameran ini merupakan koleksi seni yang amat ternilai dan berharga bukan sahaja memandangkan penerokaan formalistik dan tematik oleh artis tetapi yang paling penting, kerana kesan dan pengaruh kepada pembangunan seni tempatan sejak tahun 1970-an dan pelukis merupakan salah seorang daripada perintis seni moden di negara ini serta salah seorang ahli kumpulan Anak Alam, dimana amat terkenal dengan lukisan gaya naif beliau.

Justeru itu, para pelawat boleh menghayati karya ini dengan lebih dekat yang dibuka kepada orang ramai dari 9 Mei 2017 sehingga 2 Julai 2017 di Galeri 2B, Balai Seni Negara. Orang ramai dijemput hadir. Masuk adalah percuma.

Siaran Media Pameran Barehands Vol. 1

KUALA LUMPUR– Balai Seni Negara hari ini mengadakan Pameran Barehands Vol.1 yang dirasmikan oleh YBrs Dr. Choong Kam Kow, Pengerusi Federation of Asian Artist Malaysia Committee pada 16hb Mei 2017 (Selasa) jam 3.00 petang di Lobi Bangunan Galeri, Balai Seni Negara.

Untuk makluman projek residensi ini merupakan satu kerjasama antara pelukis dari enam buah negara iaitu Indonesia, Jepun, Jordan, Taiwan, Filipina dan Malaysia. Projek ini telah diadakan dari tahun 2010, 2014, dan 2015. Setelah melalui lima residensi di negara yang terlibat, kesemua pelukis residensi kini berada di Kuala Lumpur. Seramai 18 orang pelukis dari luar negara telah bekerja di enam buah studio tamu disekitar Kuala Lumpur berganding bersama 10 orang pelukis negara dalam memastikan usaha  projek residensi ini menjadi nyata.

Karya- karya yang dipamerkan pula adalah hasil dari pengalaman, pengamatan dan perkongsian sepanjang kehadiran mereka di Malaysia. Dengan latar belakang yang berlainan pelukis-pelukis ini mempamerkan disiplin dan kecenderungan yang berbeza dalam pengkaryaan mereka. Sebahagian besar dari mereka menggunakan bahan tempatan dan kepakaran serta kemahiran yang mereka bawa bersama.

Justeru itu, para pelawat boleh menghayati karya ini dengan lebih dekat yang dibuka kepada orang ramai dari 15 Mei 2017 sehingga 16 Julai 2017 di Galeri 2A, Balai Seni Negara. Orang ramai dijemput hadir. Masuk adalah percuma.

Pameran Barehands Volume 1

15 Mei 2017 sehingga 16 Julai 2017

Pameran Barehands Volume 1 yang akan diadakan dari 15 Mei 2017 sehingga 16 Julai 2017 adalah untuk mengetengahkan karya-karya artis residensi dari pelbagai Negara. Pameran ini merupakan sebuah program Residensi yang yang bermula di studio Akaldiulu pada tahun 2010. Pameran pada kali ini melibatkan artis dari luar negara seperti Jordan, Taiwan, Indonesia, Jepun, Filipina, serta Malaysia. Untuk tahun ini sebanyak 6 buah studio Residensi yang terlibat iaitu Akaldiulu, Pantau Iraga, Studio M.I A, Studio Tikus, Studio R A G, Studio 22 dengan penyertaan 58 pengkarya dari dalam dan luar negara dalam pameran ini.

Pameran Malaysia-Russia:Past.Present.Future

11 Mei 2017 sehingga 23 Mei 2017

Pameran Malaysia-Russia:Past.Present.Future yang akan diadakan dari 11 Mei 2017 sehingga 23 Mei 2017 adalah bersempena dengan meraikan sambutan ke-50 tahun ulang tahun hubungan diplomatik diantara Malaysia dan Russia. Pameran ini merupakan sebuah eksperimen kreatif dalam menganalisa dan mendefinisikan hubungan kebudayaan diantara Malaysia dan Russia dan terbahagi kepada 3 projek yang memaparkan karya arca yang dihasilkan oleh Gregory Pototsky, mural oleh Julia Volchkova yang popular di kalangan pelancong yang berkunjung ke Pulau Pinang serta projek kerjasama dengan Limkokwing University of Creative Technology yang diselia oleh Nikolai Lugovoy yang akan memaparkan karya instalasi secara berkumpulan.